
LELAKI BARAN VS TIGA EKOR ANJING GARANG
AKU bukan seorang yang baik. Di kampung, aku digelar sebagai Panglima Nayan. Di universiti aku digelar sebagai Mat Violent.
Gelaran itu bukan tidak bersebab. Ia kerana sikap baran aku. Namun sejajar dengan peredaran masa dan jumlah usia semakin lanjut sifat baran itu semakin kurang.
Namun kalau berlaku provokasi ia akan tiba-tiba meletus bagaikan gunung berapi.
Seperti pagi ini selepas sarapan dengan famili dan membeli petai untuk dibuat sambal bagi juadah tengah hari, aku memutuskan untuk berbasikal keliling taman untuk menghirup udara bersih lantaran ramai telah ke bandar bekerja dan sedikit berpeluh agar rasa lebih segar.
Selepas berpusing di taman perumahan aku, rasa seperti tidak cukup kilometer kayuhan, aku menyeberang ke taman bersebelahan. Namun, dek kerana tidak mahir jalan taman bersebelahan, aku termasuk ke laluan mati.
Ketika inilah insiden itu berlaku. Tiba-tiba tiga ekor anjing menyerbu aku. Aku buat tidak peduli. Bagaimanapun anjing-anjing itu makin galak dan hampir mengigit kaki aku. Ini sudah melampau kerana kalau aku biarkan sudah pasti teruk aku dibelasah anjing tiga ekor itu.
Aku memberhentikan basikal dan bertentangan dengan anjing berkenaan. Aku lihat pintu pagar sebuah rumah dibuka dan sebuah kereta keluar dan pintu pagar ditutup semula secara kawalan jauh. Anjing-anjing berkenaan semakin galak. Aku menunggu tuannya turun dan meredakan anjing-anjing peliharaannya atau mengarahkan anjing-anjing masuk ke dalam pagar rumahnya.
Namun itu tidak berlaku. Dia hanya berhenti kereta dan memerhati gelagat anjing-anjingnya dari dalam kereta, atau sibuk mencari telefon bimbit untuk merakam insiden tersebut. Manalah tahu dapat merakam gambar tiga ekor anjing belasah seorang warga emas, pasti ia menjadi tular. Aku bersumpah kalau gambar atau video aku viral, aku akan pasti individu berkenaan dikena tindakan undang-undang sewajarnya.
Berbalik kepada kisah anjing-anjing itu, ketiga-tiga cuba menyerang aku setiap kali aku cuba berlalu dari kawasan berkenaan. Akhirnya aku memutuskan untuk berkonfrantasi dan mengambil sebiji buah kelapa kering dan melontar ke arah anjing yang paling galak, baru ketiga-tiga ekor haiwan sedang menyeringai itu berundur sedikit.
Ketika anjing jantan cuba menunjukkan kegarangannya aku tuding jari ke arahnya dan menjerit ‘shut up’ terus dia diam dan aku meneruskan kayuhan basikal dan kenderaan pemilik rumah berkenaan pun berlalu.
Aku bukan orang yang anti dengan anjing liar. Bahkan aku sering beri makan kepada anjing-anjing yang hidup bergelandangan. Tetapi aku tidak bertolak ansur jika orang yang hidup di taman tetapi memelihara anjing tanpa tanggung jawab. Anjing tidak dipakai kolar, bermakna tidak mempunyai lesen dan jika apa-apa terjadi mereka tidak akan bertanggungjawab.
Satu lagi persoalan, perlukah memelihara tiga ekor anjing untuk menjaga rumah. Cukup sahaja memelihara seekor anjing di dalam pagar untuk menjaga rumah dan seekor lagi dipelihara di dalam rumah sebagai haiwan kesayangan.
Sikap tidak bertanggungjawab inilah menyebabkan baru-baru ini di kawasan perumahan aku seorang kanak-kanak terpaksa ditidur kerana keadaannya kritikal selepas terjatuh dikejar anjing liar dan kami telah melakukan sembahyang hajat agar anak itu diberi kesembuhan daripada kecederaan jantung serta paru-parunya.
Melihatkan situasi itu, masalah anjing liar dan anjing dipelihara dengan tidak cara wajar ini tidak akan selesai sampai bila-bila. Justeru ibu bapa perlu mengajar anak-anak untuk menangani keadaan bila berdepan situasi sedemikian. Iaitu harus kekal tenang dan jangan lari, kerana kita tidak akan cukup kudrat untuk lari dari haiwan yang mula gilakan darah itu. Haiwan itu menghidu rasa takut kita. Itu membuatkan dia semakin galak.
Apa yang perlu dilakukan adalah berhenti dan ambil sesuatu seperti kayu dan sebagainya untuk mempertahankan diri. Biasanya anjing akan berundur. Kalau anjing masih menyerang, elak dan tendang di bahagian perutnya dan mengelakkan daripada menendang di bahagian mulut kerana kaki kita akan cedera terkena taring yang panjang dan tajam.
Petua berkenaan aku beri daripada pengalaman sendiri dan mungkin mereka yang lebih pakar boleh memberi panduan atau memberi tunjuk ajar di sekolah-sekolah.