Nasional

Beruang matahari diselamatkan dari rumah panjang di Betong

PASUKAN Polis Marin Wilayah 5 (PPMW5) Sarawak dengan kerjasama Sarawak Forestry Corporation (SFC) berjaya menyelamatkan seekor beruang matahari yang dipercayai dipelihara tanpa permit dalam serbuan Op Khazanah di sebuah rumah panjang di Betong, Sarawak semalam.

Bagaimanapun tiada tangkapan dilakukan kerana tiada penghuni rumah panjang di Ijok Spak itu yang mengaku memiliki haiwan tersebut dalam serbuan pada 5.30 petang.

Komander PPMW5 ACP Shamsol Kassim dalam satu kenyataan berkata haiwan itu dirampas di bawah Seksyen 48(1) Ordinan Perlindungan Hidupan Liar 1998 kerana tidak memiliki lesen atau permit untuk menyimpan haiwan berkenaan dan ia diserahkan kepada SFC untuk tindakan dan siasatan lanjut.

Sementara itu, dalam satu kenyataan berasingan, Shamsol berkata seorang pemandu lori ditahan kerana dipercayai membawa kayu bergergaji secara haram di Jalan Entabai, Julau, hari ini.

Lelaki tempatan berusia dalam lingkungan 40an itu ditahan PPMW5 Sarikei pada 12.45 tengah hari bersama 240 keping kayu yang dimuatkan di dalam lori yang dipandunya itu.

“Kesemua kayu tersebut tidak mempunyai sebarang tanda hak milik, tanda (JH) Jabatan Hutan Sarawak dan tanda cukai.

“Pemandu lori dan rampasan yang dianggarkan berjumlah RM155,400 tersebut kemudiannya diserahkan kepada pihak Jabatan Hutan Bahagian Sarikei untuk tindakan selanjutnya,” katanya.– BERNAMA

(Visited 111 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button