Politik

Fahmi Fadzil bentang ‘kad laporan pencapaian’

KUALA LUMPUR, 17 Dis — Ahli Parlimen Lembah Pantai Ahmad Fahmi Mohamed Fadzil hari ini, membentangkan ‘kad laporan’ pencapaian tahun pertama sebagai wakil rakyat di kawasan parlimen itu.

Laporan itu dibentangkan pada Majlis Ramah Mesra Bersama Media di Kerinchi, menggariskan 10 pencapaian sepanjang tahun pertamanya memikul mandat sebagai ahli parlimen selepas memenangi kerusi parlimen itu pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) Mei tahun lepas.

Beliau yang juga Pengarah Komunikasi PKR berkata antara pencapaiannya termasuk melaksanakan projek tabung makanan (food bank) dan program ‘Ikan Segar Harga Berpatutan’ untuk bantu golongan isi rumah berpendapatan rendah B40.

“Pencapaian lain termasuk mengembalikan nama warisan Kampung Kerinchi, perluasan perkhidmatan bas percuma GoKL dan mengembangkan Program Tuisyen Rakyat termasuk kelas Bahasa Inggeris secara percuma,” katanya.

Ahmad Fahmi dalam ucapannya berkata agenda pembangunan Lembah Pantai pula ditumpukan pada empat fokus iaitu perumahan, pendidikan, pembangunan bandar dan pekerjaan.

Katanya untuk fokus tahun depan satu pusat kerja yang dinamakan Pusat Kerja Lembah Pantai akan diwujudkan bagi membantu penduduk yang tinggal dan bekerja di Lembah Pantai.

“Di kawasan ini terdapat kira-kira 200 syarikat yang boleh menawarkan pekerjaan dan latihan kepada penduduk setempat. Ini bagi membantu mereka yang tinggal di kawasan ini boleh turut bekerja di sini tanpa keluar,” katanya.

Turut disasar ialah pembinaan satu lagi Projek Perumahan Rakyat (PPR), pembukaan Pusat Aktiviti Warga Emas (PAWE) dan 100 Perpustakaan Mikro di kawasan itu.

— BERNAMA

(Visited 74 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Back to top button