AgamaNegeri

Legasi Kerajaan Jamalullail: Rahmat untuk rakyat negeri Perlis

PERLIS satu-satunya negeri di mana Rajanya dipanggil Raja berbanding dengan negeri lain, Sultan. Timbalan Yang DiPertua (YDP) Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs), Dr. Hazman Hassan menjelaskan, kerana itu istilah khas untuk merujuk kepada pemerintahan di bawah Raja di Perlis tidak sama berbanding dengan pemerintahan Sultan yang dikenali sebagai Kesultanan.

Beliau berkata, walaupun kedua-duanya disebut Kerajaan, pemerintah Raja Jamalullail di Perlis lebih merujuk kepada “Kingdom” manakala parti yang dipilih menerusi Pilihan Raya Umum (PRU) adalah berstatus sebagai “Government”.

Dr. Hazman Hassan

Sehubungan itu, Dr. Hazman berkata, pemerintah Raja Melayu dari istana di Perlis dirujuk sebagai “Kerajaan Jamalullail Perlis” yang diperintah oleh wangsa Jamalullail.

Dr. Hazman yang juga Pensyarah Kanan Pusat Pengajian Bahasa, Tamadun dan Falsafah (SLCP) di Universiti Utara Malaysia (UUM) Sintok, Kedah, berkata demikian dalam Bicara Pakar yang bertajuk “Legasi Kerajaan Jamalullail Perlis” secara langsung menerusi Youtube Perpustakaan Tun Abdul Razak (PTAR).

Program yang diadakan baru-baru ini, turut mendapat kerjasama Strategik Kursi Institusi Raja-Raja Melayu Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam dan MAIPs.


Moderatornya, Penyandang Kursi Raja-Raja Melayu Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam, Prof Datuk Dr. Shamrahayu Ab Aziz.

Dr. Hazman menjelaskan, Wangsa Jamalullail Perlis telah sekian lama “menjadi Melayu”, berjiwa Melayu dan tidak lagi berbudaya Yaman hasil daripada proses asimilasi semenjak Syed Ahmad Jamalullail menjejakkan kaki di Limbong, Kedah, pada tahun 1753 lagi.

“Kini wajah berdasarkan ras Arab, bahasa Arab dan budaya Arab amat “nipis” dalam kalangan Wangsa Jamalullail,” kata Dr. Hazman.

Tambah beliau, realiti ini dapat dibuktikan menerusi penggunaan gelaran ‘Raja’, bukannya Sultan.

Selain itu, katanya, pemakaian bahasa dalam dan busana Melayu, pengurniaan gelaran dan kebesaran “Melayu, penulisan hikayat dan salasilah dalam bahasa Melayu.

Katanya lagi, lebih banyak Raja-Raja Jamalullail memilih suri pasangan hidup dalam kalangan wanita Melayu, dan bukan sesama Syed atau Sharifah.

Dr. Hazman juga menjelaskan, legasi Kerajaan Jamalullail Perlis secara rasmi bermula dengan Raja Syed Hussein Ibni Syed Harun Jamalullail yang memerintah Perlis dari tahun 1843 hingga 1873.

“Baginda telah meletakkan Islam sebagai identiti dan pegangan Kerajaan Perlis,” ujar beliau.

Katanya, seterusnya kegemilangan ini diserlahkan dengan pemerintahan oleh cicitndanya Raja Syed Saffi Syed Alwi Jamalullail dari tahun 1897 hingga 1904.

“Baginda sangat mengutamakan pelaksanaan Fardu Kifayah serta membawa perubahan yang besar kepada kemakmuran Perlis dengan menggembleng tenaga rakyat  untuk berganding bahu membina jalan raya dan terusan di negeri ini,” kata Dr. Hazman.

Dr. Hazman berkata, Baginda juga menaik taraf cara berniaga dan ekonomi orang Melayu dengan pembinaan sebuah pasar tetap dinamakan “Pekan Baru”.

“Manakala bagi sektor pendidikan pula, didirikan sekolah pertama di Perlis iaitu Sekolah Melayu Arau yang kini disebut Sekolah Kebangsaan (SK) Tengku Budriah,” jelasnya.

Dr. Hazman berkata, seterusnya legasi ini diteruskan oleh Raja Syed Alwi Raja Syed Saffi Jamalullail yang memerintah dari tahun 1905 hingga 1943.

“Baginda telah menubuhkan MAIPs pada tahun 1920. Selepas itu kecemerlangan Wangsa Jamalullail diteruskan oleh Tuanku Syed Putra Jamalullail mulai tahun 1945 sehingga 2000.

“Baginda merupakan salah seorang raja berdaulat yang paling lama bertakhta di seluruh dunia pada zamannya,” kata Dr. Hazman.

Selain itu katanya, Baginda berjasa besar dalam mengkanunkan Agama Islam dan manhaj Ahli Sunnah Wal Jamaah sebagai agama bagi Perlis.

“Segala perkara yang berkaitan Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu di negeri ini telah diselaraskan menurut tuntutan Manhaj Ahli Sunnah Wal Jama’ah dalam Perkara 5 Undang-undang Tubuh Kerajaan Perlis 1948.

“Kini legasi ini diteraju oleh Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail sejak tahun 2000,” katanya.

Dr. Hazman berkata, Tuanku Raja Perlis adalah Ketua Pelindung Tertinggi Agama Islam  Ahli Sunnah Wal Jamaah di Perlis berlandaskan Undang-undang Tubuh Kerajaan Perlis 1948.

Beliau berkata, Kerajaan Jamalullail Perlis berpegang kepada manhaj Ahli Sunnah Wal Jamaah bukan sekadar teori, bahkan dipraktikkan dalam perlembagaannya.

Selain itu, Baginda juga sering berdamping dengan tokoh- tokoh agama yang bermanhaj Ahli Sunnah Wal Jama’ah.

“Ketika zaman pemerintahan Baginda, struktur masjid yang uzur giat diperbaiki di samping itu, masjid-masjid baharu terus dibina di seluruh negeri,” katanya.

Dr. Hazman berkata, sekarang ini terdapat 101 buah masjid di Perlis.

Selain itu, katanya, Baginda juga memperkenankan fatwa-fatwa yang dikeluarkan oleh Jabatan Mufti Negeri Perlis berpandukan Ahli Sunnah Wal Jama’ah untuk pegangan rakyat dan negeri ini, bahkan di arena nasional.

Katanya, bagi melestarikan Manhaj Ahli Sunnah Wal Jamaah, Baginda telah memperkenankan penubuhan Kolej Universiti Islam Perlis (KUIPs).

Dr. Hazman berkata, sementara itu pewaris takhta Kerajaan Jamalullail Perlis, Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail pula menerima amanah daripada ayahandanya menerajui MAIPs.

“Baginda juga dilantik sebagai Canselor Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), Canselor KUIPs, Komander Rejimen 504 Askar Wataniah dan Pengerusi Yayasan Tuanku Syed Putra,” kata Dr. Hazman.

Katanya, sepanjang menerajui MAIPs, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail telah menginspirasikan beberapa program dan projek yang memberikan impak besar kepada masyarakat Islam Perlis.

Antaranya ialah Program MAIPs Peduli dan Hijrah Minda, Pusat Pengurusan Jenazah Darul Abrar, One Centre Malaysia, Tabung Bara’atuz Zimmah, Skim Wakaf Tunai MAIPs, Kampung Warna-Warni dan lain-lain.

Dr. Hazman berkata, kerajaan Jamalullail Perlis adalah sebagai negeri Melayu Beraja yang berdaulat ialah hasil wawasan, usaha dan perjuangan berterusan yang dilakukan oleh anak watan Melayu-Islam bagi menegakkan kedaulatan dan membawa kemakmuran tanpa mengenal putus asa. – SM

(Visited 269 times, 1 visits today)

Show More

Related Articles

Back to top button