Politik

Lebih separuh Ahli Parlimen utus surat kepada Agong

SERUAN untuk mengutus surat kepada Yang di-Pertuan Agong oleh Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim dilapor sudah  melepasi angka majoriti.

Lebih tepat, 117 Ahli Parlimen dilapor sudahpun mengutus surat kepada Al Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al Mustafa Billah Shah.

Surat tersebut dihantar bagi menyatakan bantahan kepada keputusan kerajaan yang menggantung persidangan Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) ketika tempoh Proklamasi Darurat.

Ini kerana, tujuan matlamat Proklamasi Darurat yang dimum Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, adalah menyasarkan kepada penyelesaian krisis kesihatan.

Maka, dikatakan tidak wajar menggantung Parlimen dan DUN ketika negara berusaha untuk menangani masalah wabak pandemik Koronavirus (Covid-19).

“Tulis surat kepada Agong tiada masalah, cuma peliknya bila sudah lebih daripada separuh Ahli Parlimen yang ada, lebih 110 orang sudahpun menulis kepada Agong.

“Itupun satu bukti yang jelas, boleh digunakan oleh Agong untuk mengesahkan Muhyiddin sudah hilang majoriti.”

Demikian kata Presiden Laskar Siber Malaysia, Datuk Lokman Noor Adam memberitahu jumlah Ahli Parlimen yang mengutus surat kepada Agong.

Malah, dalam Facebooknya malam tadi, beliau mendedahkan angka sebenar Ahli Parlimen yang mengutus surat sudahpun mencecah 117 orang.

Sebelum ini, Anwar yang juga Presiden PKR menyeru Ahli Parlimen supaya mengutus surat bantahan kepada Agong terhadap keputusan Proklamasi Daruat.

Beliau berkata, tujuan surat tersebut bukanlah untuk derhaka kepada baginda, sebaliknya hanyalah meminta supaya sidang Parlimen tidak digantung.

Dalam pada itu, Lokman turut memberitahu, Agong pasti menyedari situasi yang dihadapi oleh Kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Namun, baginda dikatakan lebih memikirkan soal kestabilan negara dan fokus menangani wabak pandemik berbanding isu politik.

“Kalau hendak ikutkan, memang Agong tahu bahawa hari ini mereka yang menyokong kerajaan hari ini sudah kurang daripada yang menentang.

“Dalam erti kata lain, kerajaan ini sudah tidak lagi legitimasi sebagai sebuah kerajaan yang sah.

“Tetapi kalau diperkenankan pertukaran, kerajaan yang baharu akan memerintah pun berada dalam keadaan sangat rapuh.

“Kalau katakanlah Anwar dipilih sebagai Perdana Menteri dan dibuatnya sesuatu yang tidak menyenangkan UMNO, UMNO kemudian buat keputusan tak mahu lagi sokong beliau.

“Habislah, jatuh lagi kerajaan terpaksa pilihan kerajaan baharu. Begitu juga kalau DAP tak puas hati dengan Anwar, mereka pun tarik diri, sama juga, jatuh juga kerajaan nanti.

“Bagaimanapun, pada pandangan saya, Agong hendak pilihan raya umum diadakan tetapi sebaik sahaja isu Covid-19 ini reda,” ujarnya. – SM

(Visited 1,106 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan

Wartawan, petugas media Suara Merdeka

Related Articles

Back to top button