Nasional

Lebih RM100,000 bantu petani terjejas bencana alam di Terengganu

KEMENTERIAN Pertanian dan Industri Asas Tani menyalurkan sebanyak RM107,235 untuk membantu 307 peladang di Terengganu yang terjejas akibat bencana alam sepanjang tahun lepas.

Menterinya, Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata daripada jumlah itu, seramai 47 peladang yang mengalami pelbagai kerosakan di ladang dan kebun akibat bencana seperti banjir dan kemarau menerima peruntukan sebanyak RM92,235 daripada Tabung Bencana Tanaman Padi.

“Bagi peladang yang rumah mereka dilanda banjir pula, peruntukan sebanyak RM15,000 daripada Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS) telah disalurkan kepada 260 individu yang terlibat.

“Kementerian berharap bantuan yang diberi dapat meringankan beban peladang untuk meneruskan tanaman seperti biasa dan kami di kementerian akan memastikan kebajikan peladang terus diberi perhatian utama sekiranya berdepan waktu sukar ditimpa bencana,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis penyampaian Tabung Bencana Tanaman Padi dan Tabung Bantuan Bencana Agro Makanan di Peladang Setiu Agro Resort di sini hari ini yang turut dihadiri Pengerusi Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP), Datuk Mazlan Aliman.

Sehingga kini, terdapat 47,235 peladang daripada 15 Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) di seluruh Terengganu.

Dalam pada itu, beberapa peladang yang ditemui Bernama sangat berterima kasih kepada LPP dengan bantuan berupa barangan keperluan harian yang diterima hari ini, menunjukkan kerajaan sentiasa prihatin terhadap musibah yang menimpa mereka.

Peladang dari Manir, Kuala Nerus A Aziz Embong, 62, berkata sumbangan itu dapat membantu meringankan kos perbelanjaannya sekeluarga kerana setiap kali banjir, ladang sayur-sayuran yang diusahakannya akan mengalami kerugian.

Rusdi Yusof, 52, dari Kampung Tanjung Alir, Besut pula berharap bantuan itu dapat diteruskan pada masa akan datang kerana ia sangat membantu golongan peladang yang terjejas setiap kali bencana banjir berlaku.- BERNAMA

(Visited 78 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.
Back to top button