Hiburan

Langkah Tilmizah Sholihah terhenti di minggu ketiga Akademi Qurra’ 2024

PERJALANAN Tilmizah Sholihah dalam Akademi Qurra’ 2024 terhenti pada minggu ketiga dari pertandingan tersebut yang bersiaran secara langsung di TV AlHijrah pada, Sabtu.

Pada minggu ketiga ini menyaksikan Tilmizah Sholihah dan Tilmizah Athiyyah mendapat markah yang terendah. Namun Tilmizah Athiyyah masih berpeluang untuk meneruskan perjuangan dalam Akademi Qurra’ 2024 pada minggu seterusnya.

Suasana sebak menyelubungi studio apabila nama Tilmizah Sholihah diumumkan sebagai peserta pertama yang meninggalkan Akademi Qurra’ 2024 pada minggu ketiga.

Tilmizah Sholihah

Mengakui agak terkilan dan sedih apabila menjadi peserta mendapat markah terendah, kata Sholihah, dia akui kelemahan daripada sudut taranum dan fasohah. Pada minggu ketiga ini menyaksikan Tilmizah Sholihah dan Tilmizah Athiyyah mendapat markah yang terendah.

“Saya mengharapkan dapat membuat yang lebih baik untuk episod akan datang tapi nampaknya rezeki saya sampai di sini sahaja. Mungkin ada peluang yang lebih baik di luar sana dan saya tidak akan putus asa.

“Apabila diumumkan antara peserta dengan markah terendah, memang saya agak takut dan kerisauan terluah apabila nama diumumkan sebagai peserta tersingkir. Saya sedih bukan kerana tidak menang namun kerana hajat saya untuk membawa Al-Quran ke peringkat yang lebih tinggi,” katanya ketika ditemui selepas tamat program.

Tilmizah Sholihah

Sementara itu, Tilmiz Amnan dinobatkan sebagai pemenang Anugerah Alunan Terindah apabila mengul markah tertinggi iaitu 96.5% yang membawa pulang wang tunai RM500 beserta rehal.

Menjadi peserta pertama yang konsisten mendapat markah tertinggi buat dua minggu, kata Tilmiz Amni, bukan mudah untuk mengekalkan momentum sementelah cabaran yang diberikan setiap minggu semakin sengit.

“Alhamdulillah atas anugerah ini. Saya akui bukan mudah untuk mencuit hati juri untuk memenangi Anugerah Alunan Terindah. Dan mendapat markah tertinggi juga satu ujian kerana orang akan meletakkan jangkaan yang tinggi setiap kali persembahan kita, jadi tekanannya agak tinggi.

“Dan Alhamdulillah mungkin kekuatan saya daripada sudut lagu dan irama kerana setiap lagu perlukan penghayatan, bukan hanya dari segi taranum. Cuma saya perlu mencari tahap ketinggian suara supaya lebih selesa setiap kali bacaan,” katanya yang pernah menjadi Johan Tilawah Kebangsaan sewaktu sekolah rendah dan sekolah menengah.

Tilmiz Amnan

Menurut penerbit rancangan, Saifulizzam Mohd Lizah, setelah tiga minggu bersiaran, pihak produksi memutuskan untuk menyingkirkan seorang peserta dan cabaran selepas ini akan menjadi lebih sukar.

“Saya akui keputusan untuk singkirkan seorang peserta sangat perit untuk kami lakukan. Lagipun perbezaan markah Tilmizah Sholihah dan Tilmizah Athiyyah hanya satu mata sahaja. Kami sendiri tidak menyangka Keputusan ini kerana Tilmizah Sholihah agak konsisten pada minggu pertama dan kedua.

“Majlis syura akan menilai peserta dan tugasan selepas ini akan lebih sukar. Mungkin masa bacaan akan bertambah dengan dua taranum,” ulasnya.

Saifulizzam Mohd Lizah, Penerbit Akademi Qurra’ 2024 TV AlHijrah

Akademi Qurra’ 2024 episod 3 diadili oleh Ustazah Sharifah Khasif Fadzillah Syed Mohd Badiuzzaman selaku juri tetap dan dibantu oleh Ustaz Muhammad Qayyim Nizar Sarim serta juri jemputan Ustazah Noor Suhaiza Chulan.

Dengan terhentinya langkah Tilmizah Sholihah, mulai minggu depan hanya tinggal 11 peserta bakal berentap bagi merebut gelaran juara Akademi Qurra’ 2024 sekali gus membawa pulang hadiah utama.

Akademi Qurra’ 2024 bersiaran secara langsung menerusi saluran TV AlHijrah, setiap Sabtu, jam 9 malam.

Dihoskan oleh Raqib Majid, Akademi Qurra’ 2024 turut menampilkan Mudarris Ammar Mukhlis, Mudarrisah Suhailah Zulkifly dan Mudarrisah Nadia Hashim yang bertindak selaku tenaga pengajar. – SM

Artikel berkaitan > Tilmiz Fahmi Johan Akademi Qurra’ musim pertama

(Visited 313 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button