Nasional

Lebih munasabah beri moratorium kepada individu terjejas

ADALAH munasabah untuk memberi lanjutan moratorium kepada semua individu terkesan akibat pandemik Covid-19 seperti diumum Menteri Kewangan dalam Dewan Rakyat.

Ini kerana memberi keadilan kepada peminjam yang benar-benar layak untuk mendapatkan kemudahan lanjutan moratorium sementara mereka yang masih mampu wajar membayar balik.

Pembayaran semula dilihat penting dalam memastikan keyakinan pemegang saham terhadap bank-bank dalam bursa kerana lebih ramai pencarum daripada peminjam.

Jika, lebih ramai peminjam tidak membuat pembayaran pinjaman, ia dikhuatiri akan menjejaskan pulangan dividen pelaburan pada masa hadapan.

“Pembayaran semula pinjaman kepada yang mampu adalah penting kerana sebenarnya sebab pemegang saham utama dalam bank-bank dalam bursa saham sebenarnya institusi pelaburan kerajaan seperti KWSP, PNB, Tabung Haji dan KWAP.

“Jadi, ini akan memberi kesan terhadap dividen dan hibah yang akan diumumkan tahun hadapan dan memberi kesan kepada lebih ramai pencarum daripada mereka yang meminjam.

“Saya lebih bersetuju dengan kerajaan umum kepada yang terjejas tidak mengira golongan.”

Demikian kata Pensyarah Kanan, Pusat Pengajian Perniagaan Putra, Prof. Madya Dr. Ahmed Razman Abdul Latiff, ketika dihubungi Suara Merdeka hari ini.

Beliau berkata demikian, mengulas penggulungan Belanjawan 2021 oleh Menteri Kewangan, Senator Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, berhubung lanjutan moratorium.

Tengku Zafrul dalam awal penggulungannya memberitahu, tiada moratorium secara pukal diberikan, sebaliknya rakyat dalam semua kategori pendapatan boleh memohon.

Sementara B40 pula diberikan secara automatik tetapi perlu membuat permohonan dan keputusan diketahui dalam masa sehari sementara M40 dan T20 pula perlu membuat pengisytiharan kendiri tanpa perlu mengemukakan sebarang dokumen kepada bank.

Keputusannya pula adalah berbeza berbanding B40, tempoh masa perlu diberi kepada pihak bank selepas permohonan adalah antara sehari hingga lima hari.

AHMED RAZMAN

Dalam pada itu, Ahmed Razman bersetuju bank masih mampu memberikan lanjutan moratorium pinjaman berdasarkan keuntungan yang diperoleh pada tahun ini.

Malah, dalam laporan suku kedua tahun ini bank tetap mencatatkan keuntungan, walaupun berkurangan namun itu tidak menjejaskan pendapatan mereka.

“Bank memang mampu memberi lanjutan moratorium selama enam bulan lagi kerana, laporan suku tahun kedua bank baru-baru ini pun masih mengalami keuntungan.

“Walaupun ada sedikit pengurangan, namun tetapi itu disebabkan kemerosotan atau susut nilai, bukan melibatkan tunai.

“Jadi, kalau ikutkan tunai itu masih lagi mampu menampung permintaan daripada peminjam yang terjejas dan dijangka bukan majoriti yang terjejas.

“Ada ruang untuk bank memberi lanjutan moratorium dalam masa sama mendapat keuntungan untuk tahun ini,” jelasnya. – SM

(Visited 119 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan

Wartawan, petugas media Suara Merdeka

Related Articles

Back to top button