Ekonomi

Lebih banyak sektor ekonomi, sub sektor pelancongan beroperasi semula hari ini

LEBIH banyak sektor ekonomi termasuk subsektor pelancongan seperti panggung wayang, pusat spa, urut kaki dibuka selepas ditutup ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang memasuki hari ke-106 dan hari ke-22 Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) hari ini.

Kerajaan turut membenarkan semua majlis sosial seperti perkahwinan, pertunangan, majlis akikah, doa selamat, tahlil, sambutan ulang tahun, hari lahir dan majlis perjumpaan semula mulai hari ini.

Malah, prasekolah, tabika dan tadika kerajaan dan swasta juga dibuka sepenuhnya bermula hari ini setelah kebenaran sama diberikan kepada pelajar Tingkatan Lima dan Enam pada 24 Jun lalu.
Bernama melaporkan, apa yang menjadi tumpuan adalah semua sektor yang dibenarkan itu perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan (KKM).
Ini kerana, pematuhan SOP menjadi pengukur kepada proses pemulihan negara menuju ke arah negara bebas pandemik COVID-19 sekali gus membolehkan kerajaan melaksanakan strategi keluar selepas lebih tiga bulan vaksin virus itu masih belum ditemui.
Jika sebelum ini terdapat kebimbangan dalam kalangan masyarakat terhadap kelonggaran demi kelonggaran yang diberikan kerajaan akan mencetuskan gelombang baharu, namun kes baharu positif COVID-19 nampaknya semakin terkawal.

Perkara ini diakui Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah dengan menyatakan bahawa walaupun pelbagai sektor ekonomi dibenarkan beroperasi sepenuhnya, namun penularan kes dalam komuniti adalah terkawal.

Beliau dipetik sebagai berkata, bagi memastikan proses pemulihan negara berjalan lancar, kerajaan menyediakan SOP untuk semua sektor memandangkan pematuhan kepada SOP menjadi faktor utama dalam memutuskan rantaian penularan pandemik COVID-19.

Bagaimanapun, semua sektor tersebut perlu mematuhi SOP selain amalan kebersihan diri yang perlu diutamakan setiap masa walau di mana sahaja berada dan terpakai kepada semua peringkat usia.

Selain itu, dalam keghairahan mereka yang sekian lama tidak melakukan aktiviti rekreasi dan riadah termasuk membawa anak-anak ke taman tema air, kawalan kendiri menjadi perkara yang penting bagi memastikan penularan COVID-19 diputuskan.

Begitu juga mereka yang mahu ‘memanjakan diri’ di pusat spa, ‘wellness’ dan urut kaki, mereka perlu memastikan premis yang dikunjungi tidak hanya mengambil bacaan suhu tetapi melaksanakan semua langkah pencegahan yang ditetapkan.

Tidak dilupakan peringatan kepada ‘mok de dan pok de’ yang dijemput menghadiri pelbagai majlis termasuk majlis perkahwinan pada hujung minggu ini, sebagai warga emas yang berisiko, golongan ini diharap menjaga jarak sosial selain memakai pelitup muka dan tidak bersalaman dengan tetamu lain.

(Visited 165 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button