Nasional

Lebih banyak infrastruktur, peluang pekerjaan di DUN Chini

Siapapun wakil rakyat baharu PRK Chini

PENDUDUK di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Chini berharap wakil rakyat baharu dapat memberi penekanan terhadap pembangunan infrastruktur selain mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan terutama untuk golongan muda.

Dua perkara yang disebutkan itu penting bagi penduduk di kawasan berkenaan dalam memastikan keselesaan dan kualiti kehidupan mereka dapat ditingkatkan.

Bercakap kepada BERNAMA, Pengerusi Majlis Belia Felda Chini 5, Mohd. Fadil Ismail, 33, berkata, antara pembangunan infrastruktur yang mahu dilihat dibangunkan di kawasan DUN Chini ialah lebih banyak kemudahan sukan dan rekreasi.

Beliau berkata, dengan adanya kemudahan seperti itu mampu membuka potensi anak-anak jati kawasan untuk menceburi bidang sukan secara profesional.

“Sehubungan itu, saya dan golongan belia di sini berharap wakil rakyat yang menang nanti dapat melihat kemungkinan kawasan ini dibangunkan lagi kemudahan sukan,” ujarnya.

Beliau percaya pembangunan infrastruktur yang diimpikan itu akan membolehkan belia di situ mengisi masa lapang dengan aktiviti lebih berfaedah dan mengurangkan gejala sosial.

Sementara itu, salah seorang penduduk Felda Chini Timur 1, Jamilah Md Isa, 58, yang ditemui berkata, antara isu yang perlu ditangani oleh wakil rakyat baharu nanti ialah pembangunan perumahan generasi kedua peneroka Felda selain meningkatkan kemudahan rawatan air bersih bagi penduduk di sini.

Hari penamaan calon PRK DUN Chini | Foto | Berita Harian

Jamilah berkata, perumahan generasi kedua peneroka Felda adalah penting kerana masih ramai yang tidak mempunyai kediaman sendiri dan terpaksa menumpang di rumah ibu bapa mereka.

” Seperti yang dicadangkan suatu masa dahulu, pembangunan perumahan generasi kedua peneroka boleh dilaksanakan di atas tanah kediaman peneroka yang sudah tidak mahu tinggal di kawasan Felda,” katanya.

Selain daripada aspek infrastruktur, penduduk di kawasan DUN itu juga berharap dapat diwujudkan peluang pekerjaan baharu berbanding hanya sektor perladangan, terutamanya buat golongan muda.

Penduduk Felda Chini 5, Sarjuni Konting, 62, pula berkata, peluang pekerjaan bagi penduduk di kawasan berkenaan perlu diberi penekanan kerana ia mampu meningkatkan ekonomi setempat.

Air Terjun Terapai – GAMBAR GOOGLE FACEBOOK

Peneroka sejak 1983 itu mencadangkan agar projek Felda Terapai yang ketika ini diusahakan oleh pekerja yang digajikan, dibuka kepada generasi kedua peneroka di kawasan ini bagi diusahakan sekali gus menambah peluang pekerjaan bagi masyarakat di kawasan berkenaan.

“Peluang bagi mengusahakan ladang di Felda Terapai boleh diberikan kepada generasi kedua peneroka di sini, dengan memberikan mereka tanah untuk diusahakan sama seperti peneroka generasi pertama.

“Jika tidak dapat diberikan tanah seluas 10 ekar (4.05 hektar) seperti kami dahulu pun, mungkin boleh diberikan tanah seluas lima ekar (2.02 hektar) kepada mereka,” katanya.

Pengundian Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Chini pada 4 Julai ini menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara calon Barisan Nasional (BN) Mohd. Sharim Md Zain, 41, dan dua calon Bebas iaitu Tengku Datuk Zainul Hisham Tengku Hussin, 64, dan Mohd. Shukri Mohd Ramli, 49. – BERNAMA

 

(Visited 266 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button