fbpx
Politik

Lebih banyak bantuan jika kerajaan Sabah sehaluan dengan Persekutuan

Lebih banyak bantuan dan peruntukan dapat disalurkan kepada Sabah untuk dinikmati rakyat di negeri itu sekiranya kepimpinan kerajaan Negeri di Bawah Bayu sebaris dengan Kerajaan Persekutuan, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Perdana Menteri berkata buat masa ini, Kerajaan Persekutuan hanya dapat memberi bantuan kepada Sabah setakat yang diwajibkan dalam Perlembagaan Persekutuan kerana kerajaan negeri tidak sehaluan dengan Kerajaan Persekutuan.

“Kita bantu tetapi bantuan itu setakat mana kita diwajibkan oleh Perlembagaan Negara, itu hak orang Sabah,” katanya ketika berucap pada Program Ramah Mesra Perdana Menteri Bersama SAHABAT Kudat di Dewan Tun Mustapha di sini hari ini.

Turut hadir calon Perikatan Nasional bagi kerusi DUN Tanjong Kapor Nurlizah Gurahman.

Perdana Menteri berkata dalam situasi sukar dan luar biasa akibat pandemik COVID-19 ini, kerajaan negeri dan Persekutuan perlu bersatu serta bersama-sama membantu rakyat yang terjejas dengan virus berkenaan.


Beliau berkata Kerajaan Persekutuan sentiasa mencari jalan untuk membantu khususnya golongan B40 yang paling terkesan sejak negara berdepan musibah itu.

“Kalau kerajaan negeri dan Persekutuan itu sama, sebaris, satu saf, sehati, sejiwa, alangkah mudah (menyalur bantuan),” katanya.

Muhyiddin juga berkata Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) yang wujud sekian lama telah banyak membantu meningkatkan taraf hidup rakyat di negara ini.

Katanya sehingga Julai lepas, seramai 63,781 orang di Sabah telah mendapat faedah pembiayaan AIM yang berjumlah RM2.36 bilion.

Di kawasan Parlimen Kudat khususnya, seramai 4,267 orang telah mendapat pembiayaan pinjaman berjumlah RM98.5 juta.- BERNAMA

Show More

Related Articles

Back to top button