Politik

Perak: PH tentu kecewa – Tuan Ibrahim

KEMELUT politik di Perak yang berjaya diatasi oleh Muafakat Nasional dan Perikatan Nasional sudah tentu mengecewakan Pakatan Harapan.

Menurut Timbalan Presiden Pas Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man, Pakatan Harapan cuba ‘menangguk di air keruh’ atau cuba mengambil kesempatan dari konflik yang berlaku antara Pas, UMNO dan Bersatu.

Tuan Ibrahim juga berkata, keputusan yang diambil oleh ketiga-tiga parti menunjukkan jiwa besar pemimpin terbabit yang jelas mendahulukan rakyat.

“Utamakan kepentingan rakyat dan jiwa besar semua pihak adalah kunci penyelesaian kemelut Perak. Tahniah Muafakat Nasional berjaya mengekalkan Kerajaan PN di Perak.

“Tindakan ini tentunya mengecewakan Pakatan Harapan yang cuba menangguk di air keruh. Jaga sumber air kita agar sentiasa jernih dan bersih,” kata Menteri Alam Sekitar dan Air itu.

Beberapa pemimpin Pakatan Harapan sebelum ini tampil menawarkan diri untuk bekerjasama dengan UMNO untuk mentadbir Perak.

Antaranya termasuk Pengerusi DAP Perak, Nga Kor Ming yang secara terbuka berkata, DAP bersedia untuk bekerjasama dengan UMNO untuk membentuk kerajaan negeri yang stabil.

Keputusan itu, kata Kor Ming, dibuat DAP selepas mengambil kira situasi di Perak di mana tiada satu parti yang mempunyai majoriti untuk membentuk kerajaan yang stabil berikutan kejatuhan kerajaan Perikatan Nasional (PN) pada Jumaat lalu.

Selain itu, Pengerusi PKR Perak, Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak pula dilaporkan berkata,PKR Perak sudah mengadakan perjumpaan dengan UMNO negeri sebanyak dua kali bagi membincangkan kemungkinan membentuk kerajaan negeri yang baharu.

“Sekarang segala-galanya terpulang kepada UMNO, kami sudah membuka pintu (untuk kerjasama),” katanya seperti yang dilaporkan media.

Pengerusi Parti Amanah Negara (Amanah) Perak Datuk Asmuni Awi pula dilaporkan berkata, keputusan Pakatan Harapan (PH) Perak untuk sedia bekerjasama dengan mana-mana parti termasuk UMNO dibuat sebelum ketiga-tiga ketua parti memohon untuk menghadap Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah di Istana Kinta pada 5 Disember.

UMNO, Pas dan Bersatu hari ini mencapai kata sepakat untuk melantik Ahli Dewan Undangan Negeri (Barisan Nasional ) Kota Tampan Datuk Shaarani Mohamad sebagai Menteri Besar Perak yang baharu.

Keputusan tersebut dicapai selepas pemimpin utama parti terbabit iaitu Presiden Bersatu Tan Sri Muhyiddin Mohd. Yassin, Presiden UMNO yang juga Pengerusi Barisan Nasional Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dan Presiden Pas Datuk Seri Abdul Hadi Awang berbincang untuk menyelesaikan kemelut itu.

Kemelut politik Perak bermula Jumaat lalu selepas Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu dari parti Bersatu hilang kepercayaan sebagai menteri besar Perak selepas usul percaya terhadapnya diundi secara belah bahagi di Dewan Undangan Negeri Perak.-SM

 

 

(Visited 762 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button