Politik

Lebih 95 peratus undi Latheefa letak jawatan dalam SPRM

TIDAK sampai 15 jam pengundian dalam talian yang meminta pengguna Facebook memilih sama ada Latheefa Koya wajar meletakkan jawatan atau tidak, kira-kira 61,000 atau 95 peratus pengguna bersetuju Ketua Pesuruhjaya SPRM itu meletakkan jawatan.

Undi dalam talian yang dibuat di Facebook Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki itu sehingga kini menerima 64,500 undi dengan  hanya 5 peratus atau 3,500  tidak bersetuju Latheefa meletakkan jawatan.

“Siapa setuju Latheefa Koya patut letak jawatan selaku Ketua Pesuruhjaya lantaran pendedahan rakaman perbualan telefon yang ternyata bukan sahaja bersifat subjudis dan menghina mahkamah terhadap kes yang sedang berjalan.

“Bahkan menjatuhkan kredibiliti SPRM selaku badan bebas yang harus sentiasa berpegang kepada prinsip rule of law dan melangkaui pengaruh politik kepartian?,” tulis Asyraf Wajdi dalam hantaran di Facebooknya.

Sementara itu, seorang peguam, Adnan Seman meminta Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad mengarahkan Latheefa meletakkan jawatan jika mahu integriti dan akauntabiliti SPRM dipertahankan.

“Tindakannya bersama beberapa pegawai tinggi SPRM mendedahkan rakaman audio secara terbuka tanpa melalui proses siasatan dan undang-undang telah mendapat kecaman hebat daripada ramai peguam termasuk Majlis Peguam Malaysia.

“Perlantikan Latheefa Koya sebagai Pesuruhjaya SPRM sejak dari awal telah mendapat kecaman dan desakan agar dia meletakkan jawatan kerana ianya adalah lantikan politik bercanggah dengan janji-janji reformasi PH dan tidak pernah dilakukan BN,” kata Adnan.

Latheefa yang merupakan bekas Pengarah Eksekutif Lawyers for Liberty dilantik sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM yang baharu berkuat kuasa 1 Jun 2020 selepas Datuk Seri Mohd Shukri Abdull menamatkan kontraknya lebih awal.

Latheefa merupakan bekas ahli politik yang aktif dalam Parti Keadilan Rakyat sebelum ini.

Tindakan Latheefa  menerima kritikan lantang daripada beberapa orang peguam apabila mendedahkan secara terbuka rakaman audio termasuk bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan isterinya Datin Seri Rosmah Mansor pada satu sidang media yang turut disiarkan secara langsung di Facebook.

Antara peguam yang mengkritik Lateefa termasuk Pengerusi Biro Undang-Undang Kebangsaan DAP, Ramkarpal Singh. Ahli Parlimen Bukit Gelugor berkata, tindakan Latheefa dan SPRM tidak mengikut Perlembagaan dan melanggar hak privasi pihak terlibat.

Beliau berkata, walaupun perbualan itu mungkin membuktikan kesalahan jenayah sepatutnya SPRM atau polis menjalankan siasatan terlebih dahulu dan menyerahkan bukti kepada mahkamah.

Menurut Ramkarpal, sekiranya trend tersebut berterusan, wujud persepsi dalam kalangan masyarakat menyatakan seseorang itu terlebih dahulu didapati bersalah sebelum melalui proses perundangan di mahkamah.

Peguam terkenal Mohamed Haniff Khatri Abdulla pula berkata, tindakan Latheefa dan SRPM itu merupakan kemungkiran kepada prinsip kedaulatan undang-undang.

Sambil menyatakan rasa kesal, dukacita dan sedih terhadap apa yang dilakukan SPRM itu, Mohamed Haniff Khatri menegaskan bahawa tindakan seumpama itu sewajibnya tidak boleh dilakukan oleh mana-mana agensi penguatkuasa undang-undang seperti SPRM sama sekali.-SM

 

Related Articles

Back to top button
Close
Close