JenayahNasionalNegeri

Kes buli pelatih tentera udara: 10 beri keterangan

POLIS merekodkan lebih 10 keterangan dalam siasatan berhubung dakwaan buli melibatkan pelatih Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) di Pangkalan Udara Kuantan, baru-baru ini.

Ketua Polis Pahang, Ramli Mohamed Yoosuf berkata, ia termasuk lima pelatih yang mendakwa menjadi mangsa selain enam pelatih didakwa melakukan perbuatan itu.

“Mereka dipanggil memberi keterangan sebaik sahaja pihak kami menerima laporan.

“Setakat ini, tiada tangkapan dibuat dan siasatan masih berjalan dengan semua pihak termasuk TUDM memberikan kerjasama yang baik,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri perhimpunan khas sempena pertukaran ketua polis Pahang di IPK Pahang.

Katanya lagi, pihak polis sedang mengumpulkan sebanyak mana saksi termasuk penyelia pelatih terlibat untuk melengkapkan siasatan sebelum kes dirujuk kepada timbalan pendakwa raya.

Untuk rekod, Ramli yang menerajui polis Pahang sejak Jun 2021 dilantik sebagai pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JKSK) Bukit Aman mulai bulan ini dan tempat beliau digantikan Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur, Yahaya Othman.

Sebelum ini, Ramli mengesahkan pihaknya menerima laporan empat lagi pelatih mendakwa turut menjadi mangsa buli di pangkalan udara itu selepas seorang bapa membuat laporan polis mendakwa anaknya dibuli di situ.

Siasatan dilakukan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan iaitu menyebabkan kecederaan dengan sengaja.

Sementara itu dalam ucapannya, Ramli mengingatkan warga polis Pahang untuk terus meningkatkan ilmu pengetahuan termasuk dalam kecerdasan buatan (AI) serta kemahiran teknikal dan kemahiran insani (soft skill) seperti komunikasi, untuk menempa kejayaan lebih baik.

Pada majlis tersebut, beliau turut menyampaikan sijil penghargaan ketua polis Pahang kepada 43 warga kontinjen tersebut serta tujuh orang awam. – SUMBER FMT – SM

BACA Kes buli MRSM Kuantan: KPLB serah kepada polis siasat

(Visited 170 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Back to top button