
Lebih 5,000 Dijangka Serbu TEROKA Linkar 52 di Galeria SA Sentral
LEBIH 5,000 pengunjung dijangka memeriahkan program TEROKA Linkar 52 anjuran Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) yang bakal berlangsung pada Sabtu ini di Galeria SA Sentral, Shah Alam.
Bermula seawal jam 7 pagi hingga 10 malam, program ini bukan sahaja menampilkan pelbagai aktiviti gaya hidup dan komuniti, malah akan menjadi pentas pelancaran rasmi projek kediaman eksklusif terbaharu PKNS — Linkar 52.
Projek Linkar 52 merupakan pembangunan terkini di bawah komponen SA Sentral, melibatkan dua menara apartmen servis setinggi 33 tingkat. Ia menawarkan 615 unit kediaman serta 19 unit lot perniagaan runcit, dengan lima varian saiz bermula daripada 450 hingga 850 kaki persegi. Harga jualan bermula pada RM351,000 seunit, direka dengan sentuhan moden kontemporari yang berlatarkan kehijauan landskap bandaraya.
Sepanjang program TEROKA berlangsung, pengunjung berpeluang menikmati pelbagai aktiviti menarik seperti jualan makanan viral, jualan bonet kereta, aktiviti ekstrem wall climbing, serta pertandingan tarian Pesona Tari yang melibatkan penyertaan pelajar sekolah.
Bagi wanita dan pencinta seni, perkhidmatan lukisan inai oleh pelukis profesional turut disediakan pada harga istimewa. Aktiviti Eksplorasi SA Sentral pula memberi peluang kepada pengunjung meneroka sudut-sudut menarik Galeria SA Sentral — sebuah hab komuniti baharu berkonsep moden, lengkap dengan ruang santai, makanan dan minuman.
Sebagai kemuncak acara, Akustik Sentral Soundwave: Busking Buz! menampilkan persembahan daripada kumpulan Nominos Band, yang bakal menghidupkan suasana malam dari jam 8 hingga 10 malam.
Program TEROKA Linkar 52 bukan sekadar pameran hartanah, tetapi satu inisiatif merakyatkan pembangunan dengan mendekatkan masyarakat kepada gaya hidup lestari dan dinamik di Shah Alam.