Nasional

Lebih 320,000 askar veteran bakal terima bantuan khas Raya

KUALA LUMPUR: Seramai 120,615 pegawai dan anggota tentera serta kira-kira 200,000 veteran akan menerima bantuan kewangan khas Aidilfitri seperti diumumkan Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob semalam.

Menteri Pertahanan Hishammuddin Hussein berkata mesyuarat Kabinet hari ini mengesahkan bantuan kewangan khas itu meliputi pegawai dan kakitangan serta veteran angkatan tentera yang berdaftar dengan Jabatan Hal Ehwal Veteran (JHEV).

“Veteran angkatan tentera yang masih belum mendaftar dengan JHEV perlu berbuat demikian segera untuk menikmati bantuan khas itu.

“Kementerian Pertahanan percaya bantuan khas itu dapat membantu semua anggota tentera dan veteran dalam persiapan menyambut Hari Raya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Hishammuddin turut merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada perdana menteri dan menteri kewangan Tengku Zafrul Aziz serta Jemaah Menteri kerana mengambil kira anggota tentera dan veteran dalam pemberian bantuan kewangan khas Aidilfitri serta bentuk bantuan lain sebelum ini.

“Ini bukan sahaja menggambarkan keprihatinan terhadap kebajikan mereka tetapi ia juga merupakan pengiktirafan terhadap jasa dan pengorbanan yang dilakukan oleh anggota dan veteran angkatan tentera ini demi kebaikan negara,” katanya.

Semalam, kerajaan bersetuju memberi bantuan kewangan khas Aidilfitri sebanyak RM500 kepada semua penjawat awam Gred 56 dan ke bawah termasuk kakitangan dalam perkhidmatan kontrak, pegawai sambilan serta lantikan di bawah skim pekerjaan jangka pendek, dan juga RM250 kepada semua pesara.

(Visited 584 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button