Nasional

Lebih 3000 mendaftar sebagai pelajar baharu UPSI

Lebih 3,000 calon yang berjaya ditawarkan memasuki Universiti Pendidikan Sultan Idris ( UPSI) mendaftar semalam di Dewan Tuanku Canselor, Kampus Sultan Azlan Shah, Proton City.

Naib Canselor, Prof Datuk Dr Md Amin Md Taff yang menyantuni pelajar-pelajar baharu yang terpilih mengikuti pengajian di UPSI bagi Semester Oktober 2022 menyambut mereka dengan kata-kata semangat agar menjadi pelajar UPSI yang aktiof mengharumkan nama universiti.
Beliau turut meluangkan masa bersama keluarga yang datang ke Kampus Sultan Azlan Shah, Proton City seawal pagi dari seluruh pelosok negara untuk meraikan kejayaan anak-anak kesayangan mereka melanjutkan pengajian di UPSI.

“Saya terharu dengan kesungguhan ibu bapa dan berharap semua anda yang baru menjejakkan kaki kea lam kampus ini tidak menghampakan harapan ibu bapa yang datang dari pelbagai latar belakang ,” katanya.

Md Amin dan Norkhalid bertemu pelajar baharu yang sedang mendaftar di Dewan Tuanku Canselor, Kampus Sultan Azlan Shah.

Semalam lebih 3,000 pelajar lepasan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM), diploma serta matrikulasi mendaftar di Dewan Tuanku Canselor dan menginap di Kolej Harun Aminurrashid, Kolej Ungku Omar, Kolej Aminuddin Baki, serta Blok Antarabangsa.

Pelajar baharu itu akan mengikuti pelbagai pengajian di Sembilan fakulti iaitu Fakulti Bahasa dan Komunikasi, Fakulti Muzik dan Seni Persembahan, Fakulti Pengurusan dan Ekonomi, Fakulti Pembangunan Manusia, Fakulti Sains Kemanusiaan, Fakulti Seni, Komputeran dan Industri Kreatif, Fakulti Sains dan Matematik, Fakulti Sains Sukan dan Kejurulatihan serta Fakulti Teknikal dan Vokasional.


Katanya, di UPSI pelajar bukan hanya diterapkan dengan ilmu akademik sahaja, malahan dengan ilmu kehidupan yang ditunjangi dengan adab dan akhlak.

“Jangan sesekali mensia-siakan segala pengorbanan keluarga kerana demi menjamin pelajar mendaftar di UPSI kerana ada ibu bapa yang terpaksa menangguhkan hajat mengerjakan haji berikutan terpaksa mengeluarkan simpanan TH mereka.

Norkhalid (tengah) bersama kakitangan Jabatan Hal Ehwal Pelajar (JHEPA) memegang cenderamata berupa tali leher dan selendang untuk pelajar baharu UPSI.

Beliau berkata ada yang meminjam dari sanak-saudara, ada yang berjimat belanja, malahan pasti ramai yang mendapatkan bantuan dari pelbagai sumber agar anak-anak dapat mendaftar untuk belajar.

“Namun, semua ini tidak pernah diberitahu kepada anda, maka hargailah pengorbanan insan istimewa ini dengan belajar bersungguh-sungguh dan mendoakan mereka apabila berjauhan dari mereka,“ katanya.

Timbalan Naib Canselor(Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof Dr Norkhalid Salimin yang turut mengiringi Naib Canselor berharap pelajar baharu memelihara akhlak walaupun memburu pencapaian akademik yang cemerlang sepanjang pengajian.

“Manfaatkanlah segala kemudahan yang disediakan untuk keselesaan semua pelajar di kedua-dua kampus iaitu Kampus Sultan Abdul Jalil Shah (KSAJS) yang berkeluasan 85 ekar dan Kampus Sultan Azlan Shah (KSAS) yang berkeluasan kira-kira 850 ekar,” katanya.

Di universiti, katanya, pelajar berpeluang mencipta pelbagai kejayaan dalam pelbagai bidang kemahiran insaniah seperti penciptaan inovasi, pidato, debat, sukan, tarian, nyanyian dan banyak bagi menggilap potensi diri sama ada di peringkat kolej, universiti, nasional serta antarabangsa.

(Visited 109 times, 1 visits today)

Show More

Related Articles

Back to top button