Ekonomi

Lebih 300 Restoran Tutup Setiap Bulan di Singapura Sepanjang 2025

KUALA LUMPUR 22 Jun 2025 – Sektor makanan dan minuman (F&B) di Singapura kini berada dalam keadaan genting apabila lebih 300 restoran menamatkan operasi setiap bulan sepanjang tahun ini, menurut laporan The Independent. Angka ini menunjukkan peningkatan ketara berbanding purata 254 penutupan bulanan pada tahun 2024.

Trend penutupan ini bukan sahaja melibatkan gerai kecil atau perniagaan keluarga, malah turut menjejaskan restoran mewah dan premis makan berkelas tinggi.

Antara nama besar yang terkini mengumumkan penutupan ialah 1880, sebuah kelab eksklusif untuk ahli terpilih yang terletak di kawasan elit Robertson Quay. Dalam kenyataan rasmi bertarikh 18 Jun, pihak pengurusan kelab mengakui bahawa penurunan mendadak dalam kehadiran pelanggan dan corak perbelanjaan menjadi punca utama keputusan itu.

“Kami perlukan penstrukturan semula dan kecekapan operasi. Realitinya, kehadiran dan perbelanjaan ahli terus menurun,” jelas kenyataan rasmi yang dipetik oleh Channel News Asia.

Penutupan cawangan utama ini berlaku hanya beberapa minggu selepas cawangan 1880 di Hong Kong turut gulung tikar pada 30 Mei 2025, kurang setahun selepas dilancarkan.

Trend Membimbangkan

Pemerhati industri menyifatkan situasi ini sebagai petunjuk tekanan ekonomi pasca-pandemik yang masih membelenggu perniagaan – termasuk peningkatan kos operasi, kekurangan tenaga kerja, dan perubahan dalam gaya hidup serta perbelanjaan pengguna.

Walaupun Singapura sebelum ini dikenali sebagai destinasi gastronomi bertaraf dunia, daya saing dan kelangsungan perniagaan F&B kini menjadi persoalan utama, khususnya bagi pemain berskala sederhana hingga premium.

Pihak berkuasa setakat ini belum mengumumkan pelan sokongan tambahan khusus untuk sektor F&B, namun beberapa persatuan industri telah menggesa agar dasar sewa premis dan insentif operasi dikaji semula bagi mengelakkan lebih banyak penutupan pada separuh kedua tahun ini.

Persoalan apakah Malaysia juga bakal berdepan situasi yang sama walaupun tiada data rasmi setakat ini.

Prestasi & Prospek IndustrI F&B Malaysia

  • Nilai pasaran makanan & minuman di Malaysia dianggarkan US$17.85 bilion pada 2022, dengan prospek pertumbuhan tahunan sekitar 9.4% menjelang 2032  .
  • Sebelum pandemik (2015–2020), sektor ini mencatat penguncupan keuntungan pada kadar CAGR −2.8%, tetapi dijangka pulih dengan kuat dalam tempoh 2020–2025 .

Penutupan banyak kafe membimbangkan pengusaha.

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button