Sukan

Lebih 2,000 atlet e-sukan sertai MES 2021, rebut hadiah berjumlah RM100,000

PENGANJURAN Malaysia Esports Series 2021 (MES 2021) mendapat sambutan yang menggalakkan dengan 2,000 penyertaan setakat ini.

Pengasas dan pemilik THQ Esports Club, Muhammad Aimanulhaq Zaharudin berkata, jumlah itu adalah sesuatu yang sangat membanggakan.

“Kita berbangga dengan jumlah penyertaan tersebut kerana MES 2021 baru sahaja diperkenalkan dan telah mendapat sambutan yang baik.

“Selain itu, penganjuran MES 2021 juga mencipta dimensi baharu dalam penganjuran e-sukan kerana mendapat sokongan dan pengiktirafan daripada tiga kementerian,” katanya dalam majlis perasmian MES 2021 di Putrajaya, hari ini.

Pengasas dan pemilik THQ Esports Club, Muhammad Aimanulhaq Zaharudin

Hadir sama dalam majlis tersebut ialah Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican.

Dalam pada itu Muhamamd Aimanulhaq yang juga Pengerusi MES 2021 berkata, MES 2021 mendapat sokongan padu dari Kementerian Belia dan Sukan (KBS); Kementerian Kesihatan (KKM) serta Kementerian Pengajian Tinggi.

“Pengiktirafan yang diberikan KBS akan merancakkan pembangunan e-sukan negara kerana penyertaan sukan ini membabitkan segenap lapisan masyarakat, mencipta peluang pekerjaan di samping melahirkan atlet e-sukan profesional.

“KKM dapat memberi perspektif baharu kepada masyarakat kerana sebagai atlet e-sukan, ketahanan fizikal, mental, diet dan psikologi merupakan faktor yang dititikberatkan kepada atlet dalam mendapatkan prestasi optimum bagi meraih kejayaan.

“Sokongan Kementerian Pengajian Tinggi pula akan memberi pendedahan kepada siswa tentang kepentingan pemikiran kritikal, pemikiran strategik, kecerdasan buatan (AI) dan internet segala benda (IoT) dalam membentuk modal insan yang mampu mendepani cabaran era digital dan ekonomi global,” katanya.

MES 2021 yang bakal berlangsung pada 26 hingga 11 April depan menawarkan hadiah keseluruhan berjumlah RM100,000.

Tiga permainan video utama yang bakal dipertandingkan ialah FIFA2021, Mobile Legends: Bang Bang (MLBB) dan PUBG. -SM

(Visited 555 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button