Ekonomi

Lebih 12,000 ekor lembu akan diimport bagi penuhi keperluan Aidiladha

BAGI mengatasi masalah kekurangan bekalan daging sempena ibadah korban pada Hari Raya Haji tahun ini, kerajaan bersetuju mengimport lebih 12,000 ekor lembu dari Thailand.

Timbalan menteri Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) Datuk Seri Ahmad Hamzah berkata mesyuarat pada Mac lalu memutuskan kerajaan membenarkan import lembu dari Thailand untuk penyembelihan korban dan tujuan lain.

Bagaimanapun, beliau berkata syarat ketat telah dikenakan, antaranya ialah kerajaan Thailand perlu memastikan lembu yang diimport bebas daripada sebarang penyakit kulit berketul (LSD) serta penyakit kaki dan mulut (FMD).

“Malah, lembu import perlu dikuarantin selama 28 hari sebelum proses penyembelihan dijalankan.

“Sebenarnya pada tahun lalu, kerajaan menghentikan import lembu dari Thailand kerana penyakit itu tetapi kini dibenarkan dengan syarat ketat,” katanya selepas merasmikan Hari Lebah Sedunia 2022 di Universiti Putra Malaysia (UPM), di sini, hari ini.

Sebelum ini dilaporkan umat Islam yang ingin menunaikan ibadah korban sempena Hari Raya Haji tahun ini dijangka berdepan kenaikan harga antara 35 hingga 40 peratus berikutan kos operasi yang tinggi ditanggung petani.

Mengenai krisis makanan global, Ahmad berkata, MAFI melalui Dasar Agromakanan Negara 2021-2030 (DAN 2.0) akan terus melaksanakan tindakan pemantauan dan mengenal pasti masalah berkaitan bagi mengatasi krisis makanan di negara ini.

Negara berdepan beberapa isu mendesak membabitkan bekalan makanan, katanya, yang diharapkan kerajaan dapat diatasi melalui DAN 2.0.

Mengenai Hari Lebah Sedunia yang disambut setiap tahun pada 20 Mei, beliau berkata, lebah merupakan salah satu agen pendebungaan yang menghubungkan rantaian ekosistem semula jadi.

“Industri lebah dianggarkan berpotensi memberikan pulangan ekonomi sebanyak RM2.3 bilion setahun pada masa hadapan, dengan 99 peratus daripada nilai itu disumbangkan oleh aktiviti pendebungaan lebah dalam sektor pertanian.

“Madu yang dihasilkan oleh lebah hanya menyumbang RM19.27 juta (satu peratus) daripada jumlah nilai ekonomi yang boleh dijana oleh industri ini,” katanya.

 

(Visited 587 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button