Ekonomi

Amir Hamzah ganti Tunku Alizakri sebagai CEO KWSP

Datuk Seri Amir Hamzah Azizan dilantik akan mengantikan Tunku Alizakri Alias sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) berkuatkuasa 1 Mac 2021.

Menurut KWSP dalam satu kenyataan hari ini, pelantikan Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Tenaga Nasional Berhad (TNB) itu diumumkan selepas menerima kelulusan Kementerian Kewangan.

Amir Hamzah mempunyai 25 tahun pengalaman dalam meneraju beberapa organisasi korporat.

Kerjayanya bermula apabila menyertai Kumpulan Shell dan seterusnya telah dilantik sebagai Ketua Pegawai Eksekutif beberapa organisasi korporat antaranya MISC Bhd, PETRONAS Dagangan Bhd, PETRONAS Lubricants International, Icon Offshore Bhd dan Themed Attractions Resorts and Hotels Sdn Bhd.

Beliau merupakan pemegang Ijazah Sarjana Muda Sains Pengurusan (Kewangan dan Ekonomi) daripada Universiti Syracuse, New York.

Sementara itu, Pengerusi KWSP, Tan Sri Ahmad Badri Mohd Zahir berkata, KWSP dengan berat hati mengucapkan jutaan terima kasih dan ucapan selamat maju jaya kepada Tunku Alizakri atas dedikasi dan sumbangan beliau selama 7 tahun.

Beliau bermula sebagai Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Strategi) dan kemudian sebagai Ketua Pegawai Eksekutif KWSP sejak 20 Ogos 2018.

“Wawasan serta komitmen Tunku Alizakri kepada semua pihak berkepentingan terutama ahli-ahli KWSP boleh dilihat melalui hala tuju KWSP dalam mempertingkatkan kecekapan operasinya melalui pecutan digital, mengguna pakai dasar dan tadbir urus alam sekitar (ESG) dan kelestarian (sustainability) sebagai metrik utama, serta memperkasakan keselamatan sosial dan kesejahteraan bagi masyarakat Malaysia,” kata Ahmad Badri.

(Visited 756 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button