Luar Negara

lebih 100 juta orang di dunia kini hidup dalam pelarian – IRC

DATA daripada Jawatankuasa Penyelamat Antarabangsa (IRC) menunjukkan lebih 100 juta orang di dunia kini hidup dalam pelarian, melarikan diri dari konflik dan bencana di negara mereka.

Lebih membimbangkan, seramai 340 juta orang dijangka memerlukan bantuan kemanusiaan pada 2023, meningkat empat kali ganda berbanding 10 tahun lepas.

IRC menyenaraikan 20 buah negara dalam pemerhatian pada tahun hadapan dengan Somalia, Ethiopia, Yaman, Afghanistan dan Ukraine antara yang diramal berdepan krisis besar pada tahun hadapan.

Selain itu, Haiti, Venezuela, Pakistan, Nigeria dan Sudan juga antara negara dalam pemerhatian yang diramal berlaku konflik bersenjata, krisis iklim dan kegawatan ekonomi yang mungkin mendorong berlakunya krisis lebih mendalam.

Berdasarkan laporan Forum Ekonomi Dunia (WEF), semua 20 negara yang dalam pemerhatian itu hanya memiliki 13 peratus daripada populasi global.


Dari segi Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pula, negara-negara tersebut hanya menyumbang hanya 1.6 peratus daripada KDNK global.

Negara-negara dalam Senarai Pemantauan IRC menyumbang hanya 1.9 peratus daripada pelepasan karbon dioksida global, namun mereka berdepan beberapa kesan terburuk bencana berkaitan iklim.

Kegawatan ekonomi yang timbul daripada pencerobohan Rusia ke atas Ukraine dan kesan jangka panjang pandemik COVID-19 telah mengganggu rantaian bekalan, perdagangan antarabangsa serta harga makanan dan bahan api.

Semuanya menyebabkan rantaian makanan di seluruh dunia terganggu khususnya di negara yang berada dalam senarai pemantauan itu.

Negara-negara itu juga, secara puratanya mengalami konflik bersenjata selama purata 12 tahun, konflik yang memusnahkan infrastruktur, mata pencarian dan perkhidmatan.

Dalam pada itu, Senarai Pemantauan 2023 yang dikeluarkan IRC mendedahkan keperluan untuk adanya perubahan drastik dalam cara menangani krisis kemanusiaan.

Antaranya adalah dengan memutuskan kitaran krisis kemanusiaan mengutamakan pemulihan terhadap penyampaian perkhidmatan asas seperti sistem pendidikan dan kesihatan.

Ia juga bermakna usaha perlu dilakukan untuk membiayai responden barisan hadapan dengan strategi mengutamakan rakyat terjejas dengan pelbagai inisiatif.

Selain itu, semua perlu mengambil inisiatif melindungi rakyat yang berdepan konflik dengan menghapuskan imuniti terhadap kekejaman yang berlaku.

Bahkan, menggantung penggunaan kuasa veto dalam insiden kekejaman secara besar-besaran juga boleh membantu dunia menangani krisis kemanusiaan yang berlaku.

Di samping itu, pemerkasaan wanita dalam usaha keamanan dan keselamatan perlu diberi perhatian dengan memastikan organisasi diterajui wanita dibiayai dengan betul dan mendapat tempat dalam rundingan damai.

Senarai Pemantauan 2023 itu dikeluarkan bertujuan sebagai panduan untuk pemimpin dunia memilih cara terbaik untuk mengurangkan krisis kemanusiaan yang berlaku.

(Visited 35 times, 1 visits today)

Show More

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button