NasionalNegeri

Tekad kibar bendera putih demi keluarga

Rakyat tolong rakyat, kibar bendera putih

KIBAR bendera putih memang sebagai tanda sudah mengaku kalah tetapi ketepikan dahulu perasaan itu jika kibaran itu untuk segera dibantu.

Dalam keadaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 ini, kibaran bendera putih dianggap petanda penting supaya orang sekeliling sedar ada yang amat memerlukan bantuan dan tidak akan membiarkan mana-mana keluarga dalam kelaparan.

Tindakan dua rakyat negeri ini yang tekad mengibarkan bendera putih di hadapan rumah semalam tidak sia-sia.

Hari ini tampil Pertubuhan Tabung Makanan Negeri Perlis (Food Bank Perlis) selaku Badan Bukan Kerajaan (NGO) untuk menyampaikan sumbangan bantuan makanan dan keperluan dapur untuk dua keluarga.

Mohd Amirul Nazari Abdullah.

Pengerusinya, Mohd Amirul Nazari Abdullah, 38, berkata, bantuan ini adalah sumbangan rakyat Perlis.

“Ini adalah kesedaran rakyat sendiri untuk membantu mereka yang susah dengan memberikan sumbangan untuk disampaikan menerusi Food Bank,” katanya kepada wartawan SUARA MERDEKA.

Beliau berkata, Food Bank Perlis ini adalah sebuah badan yang telah berdaftar secara rasmi pada 4 Disember tahun lepas dengan dianggotai kira-kira 30 sukarelawan.

Beliau berkata, selain memberikan bantuan makanan pihaknya juga berusaha mencarikan pekerjaan ataupun modal untuk mereka yang ingin memulakan perniagaan.

Sementara itu, bagi Nor Azman Azmi, 40, beliau bersyukur kerana telah menerima bantuan daripada Food Bank Perlis di rumahnya di Kampung Cantik Bangun, Simpang Empat, dekat Arau.

“Saya hanya bekerja kampung dengan pendapatan antara RM700 hingga RM800 sebulan untuk menanggung isteri dan lima anak,” katanya.

Beliau berkata, setakat ini Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) memberi elaun bulanan untuk anak-anaknya sementara seorang lagi anaknya,  Orang Kurang Upaya (OKU) menerima bantuan dari Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) negeri.

Mohd Amirul Nazari Abdullah menyerahkan bantuan Food Bank Perlis kepada Lim Shih Hung (kanan).

Lim Shih Hung, 45, melahirkan rasa gembira apabila menerima bantuan makanan dari Food Bank Perlis.

“Saya sudah lama tidak bekerja kerana menjaga ibu yang berusia 68 tahun yang lumpuh sejak 2012,”  katanya yang tinggal di Taman Muhibbah, Jejawi bersama dua adiknya.

Beliau mengaku terpaksa menaikkan bendera putih dengan harapan ada pihak yang membantunya di saat kesusahan ini dan ternyata masyarakat negeri ini memang prihatin. – SM

(Visited 504 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button