Nasional

Dakwaan MRSM Sungai Besar gagal patuhi SOP Covid-19 tidak benar, MARA buat laporan polis

Majlis Amanah Rakyat (MARA) menafikan tuduhan yang tular bahawa Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Sungai Besar gagal mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dan mengawal penularan wabak Covid-19 di sekolah tersebut.

MARA dalam satu kenyataan berkata, tular satu mesej di Whatsapp yang mendakwa bahawa pelajar MRSM terbabit tidak mendapat bekalan  makanan yang secukupnya.

Selain itu, turut dinyatakan dalam mesej tersebut ialah pelajar bergejala tinggal di asrama yang sama dengan pelajar sihat akibat tiada tempat pengasingan, serta dakwaan wujudnya masalah SOP keselamatan melibatkan sanitasi, pembekalan pelitup muka dan sebagainya.

“Pihak Maktab telah pun mengambil tindakan segera dengan mewujudkan jawatankuasa khas yang beroperasi 24 jam sejak hari pertama gejala Covid-19 dikesan yang diketuai oleh pengetua maktab dan dianggotai oleh guru dan staf.

“Mereka turut membuat kerja-kerja sanitasi setiap hari dengan nasihat dan pemantauan daripada bomba. Sanitasi keseluruhan bangunan maktab telah dilakukan oleh pihak bomba pada 29 Januari lalu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

KEADAAN MRSM Sungai Buloh yang sentiasa dikawal rapi dan mematuhi SOP Covid-19 ditetapkan kerajaan.

Menurutnya, MARA sentiasa berhubung rapat dengan Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) sejak wujudnya gejala dan kes kontak rapat di kalangan pelajar.

Malah, pelajar yang bergejala telah diasingkan sejak 24 Januari lalu daripada pelajar yang sihat di blok lain serta menggunakan tandas yang berlainan.

“Pelajar lain turut dikawal pergerakan dengan mewujudkan sekatan-sekatan laluan yang perlu untuk memastikan pengasingan dan penjarakan dilaksanakan secara teratur mengikut SOP keselamatan.

“Seorang daripada pelajar telah ditempatkan di MAEPS Serdang tetapi tidak berada dalam keadaan kritikal dan hanya mengalami gejala batuk,” katanya.

Ujarnya lagi, isu kekurangan makanan juga tidak benar kerana setiap pelajar yang dikuarantin di blok asrama dibekalkan dengan bungkusan makanan setiap hari mengikut menu di dewan selera.

Jelasnya, pelajar juga dibekalkan pelitup muka dan cecair pebasmi kuman bagi memastikan kebersihan dan langkah pencegahan untuk mengelak jangkitan dalam kalangan pelajar.

“Para guru dan warden yang bertugas juga disediakan personal protective equipment (PPE) sebagai perlindungan mereka,” katanya.

Susulan dakwaan tidak benar itu, MARA telah mengambil tindakan dengan membuat laporan polis pada hari ini.

Tambahnya, MARA sentiasa memastikan keselamatan dan kesihatan pelajar. Ibu bapa juga dinasihatkan untuk terus menghubungi pihak pengurusan maktab jika timbul sebarang kebimbangan tentang anak-anak. -SM

(Visited 519 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button