NasionalPolitik

BERSATU tidak khianati UMNO- Muhyiddin

TAN Sri Muhyiddin Yassin menafikan dakwaan Datuk Seri Najib Razak di Facebooknya yang menuduh BERSATU mengkhianati UMNO dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah hingga menjadi punca Muafakat Nasional gagal.

Muhyiddin Yassin yang juga Presiden BERSATU berkata tidak ada satu pun kerusi di mana calon BERSATU melawan UMNO dalam PRN Sabah.

“Sebagai Presiden BERSATU dan Pengerusi Perikatan Nasional (PN), saya telah mempengerusikan beberapa mesyuarat yang dihadiri oleh pimpinan PN, Barisan Nasional (BN) dan Parti Bersati Sabah (PBS) untuk menetapkan pembahagian kerusi bagi PRN Sabah.

“Saya telah menyatakan dengan jelas dalam mesyuarat bahawa penting untuk PN, BN dan PBS mengelakkan pertembungan sesama sendiri dalam PRN Sabah.

“Saya juga pada waktu itu telah mengarahkan Datuk’ Seri Hamzah Zainuddin sebagai Setiausaha Agung PN untuk membentuk jawatankuasa pembahagian kerusi antara parti-parti PN, BN dan PBS dengan satu arahan yang jelas bahawa semua parti mesti mengelakkan pertembungan sesama sendiri,” katanya dalam kenyataan di Facebook miliknya.

Bagaimanapun, Muhyiddin Yassin mendakwa jawatankuasa pembahagian kerusi antara PN, BN, dan PBS gagal mencapai persetujuan apabila BN menambah jumlah kerusi yang mahu ditandingi menyebabkan berlaku pertembungan dengan PN di beberapa tempat.

Tambahnya, kerusi yang menyaksikan pertembungan antara PN dengan BN bukan membabitkan BERSATU dengan UMNO tetapi antara Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), PBS dan BN.

“PBS juga meletakkan calon di kerusi yang ditandingi oleh STAR menyebabkan berlaku pertembungan antara PBS dan PN.

“Melihat keadaan ini, saya telah pergi ke Kota Kinabalu sebelum hari penamaan calon untuk melakukan rundingan saat akhir bagi mengelakkan pertembungan sesama parti PN, BN dan PBS.

“Malangnya, mesyuarat itu gagal mencapai kata sepakat kerana masing-masing bertegas untuk meletakkan calon di kerusi-kerusi yang ditandingi oleh parti-parti rakan yang lain.

“Pada saat itu, BERSATU adalah satu-satunya parti yang tidak meletakkan calon di kerusi-kerusi yang ditandingi oleh rakan-rakan dalam PN, BN dan PBS.

“PAS pula mengambil langkah terhormat dengan tidak bertanding di mana-mana kerusi,” katanya.

Dalam pada itu, Muhyiddin Yassin turut menjelaskan mengenai calon Ketua Menteri Sabah di mana beliau sudah meminta kepada Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Presiden UMNO menamakan calon KM Sabah daripada UMNO tetapi beliau tidak menamakan sesiapa sehingga kempen PRN Sabah berakhir.

Oleh itu, beliau telah menamakan Datuk Seri Panglima Hajiji sebagai calon KM Sabah daripada PN sekiranya PN memenangi jumlah kerusi yang terbesar dalam kalangan parti-parti yang membentuk Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

Jelasnya lagi, dalam PRN Sabah, PN menang 17 kerusi, BN 14 kerusi dan PBS 7 kerusi, sekaligus PN mencalonkan Hajiji sebagai Ketua Menteri yang dan pencalonan ini dipersetujui oleh ADUN GRS termasuk UMNO.

“Adakah saya khianat? Saya tidak khianat. Saya beritahu UMNO supaya menamakan calon. Sekiranya UMNO tiada calon, saya ada calon yang ingin diketengahkan. Saya bersikap telus dan berterus terang dengan UMNO.

“Dato’ Seri Najib janganlah memutarbelitkan fakta. Apa yang berlaku dalam PRN Sabah bukanlah sebab Muafakat Nasional gagal,” katanya.

Beliau turut mengingatkan Najib untuk tidak lagi mengungkit soal Muafakat Nasional kerana BERSATU telah putuskan untuk tidak menyertai Muafakat Nasional manakala UMNO juga telah memutuskan kerjasama dengan BERSATU dalam Perhimpunan Agung parti itu. -SM

(Visited 167 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button