Nasional

Lapor dana hanya untuk orang Islam, menteri mahu Malay Mail mohon maaf

MENTERI di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Senator Datuk Seri Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri menggesa Malay Mail agar membetulkan laporan bertajuk ‘Jakim launches Covid-19 fund to help Malaysia’s Muslim in need’ dan memohon maaf.

Menurut Dr Zulkifli, beliau tidak pernah berkata Tabung Saadah Jakim Covid-19 khusus untuk membantu orang Muslim sahaja.

Tegasnya, beliau beberapa kali mengulangi tabung tersebut untuk mereka yang memerlukan, termasuk barisan hadapan dan lain-lain seperti kader kumpulan pengurusan jenazah dan yang berkeperluan.

“Saya tidak akan bertolak ansur dengan sebarang bentuk kenyataan yang tidak menggambarkan pendirian saya sejak 6 tahun menjadi penjawat awam, terutamanya melibatkan isu hubungan antara agama dan kaum.

“Dengan penuh rasa hormat, saya meminta pihak Malay Mail membetulkan kenyataan tersebut dan membuat permohonan maaf atas hal ini,” kata Dr. Zulkifli.

Malay Mail hari ini melaporkan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) telah melancarkan dana untuk membantu masyarakat Islam yang terjejas oleh wabak Covid-19.

Portal tersebut melaporkan, Dr Zulkifli berkata, kerajaan akan menyalurkan sumbangan tabung tersebut kepada umat Islam yang memerlukan.

“Secara ringkasnya, kami tidak mahu sesiapa yang akan mati kelaparan. Kami tidak mahu sesiapa pun tidak mempunyai beras untuk dimakan.

“Kami meminta semua NGO kami untuk membantu. Kami perlu memberi bantuan sebanyak mungkin, ” kata Dr. Zulkifli seperti yang dilaporkan oleh Malay Mail.

Dr. Zulkifli dalam facebooknya berkata, agensi-agensi di bawah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) sehingga hari ini telah menyampaikan sumbangan lebih RM20 juta kepada gelandangan, frontliners, anak kariah dan pelajar di Wilayah Persekutuan dan luar Wilayah Persekutuan tanpa mengira agama dan bangsa.

Mereka yang ingin menyumbang kepada Tabung Saadah Jakim Covid-19 boleh menyalurkan ke Bank Islam Malaysia Berhad nombor akaun 16027010001528 -SM

 

(Visited 368 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button