NasionalNegeri

Isu air masin: Vivian tuntut Pengarah JANS dilucutkan jawatan serta-merta

SEMALAM Ahli Parlimen Sandakan mendakwa penduduk di daerah itu terpaksa minum air masin akibat perkhidmatan bekalan air yang tidak cekap.

Difahamkan Timbalan Ketua Menteri Sabah, Shahelmey Yahya akan memanggil pengarah Jabatan Air Negeri Sabah (JANS) susulan dakwaan bekalan air di daerah Sandakan yang dikatakan masin.

Shahelmey yang juga Menteri Kerja Raya Sabah, berkata demikian sebagai mengulas dakwaan Ahli Parlimen Sandakan, Vivian Wong Shir Yee mengenai bekalan air di kawasan itu masin dan berdepan masalah tekanan rendah.

Katanya, keluhan rakyat Sandakan diambil berat seperti disuarakan Vivian termasuk rasa tidak puas hati terhadap maklum balas diberikan pengarah JANS berhubung isu terbabit.

“Saya ada berhubung dengan YB (Yang Berhormat) Vivian semalam. Dia menyuarakan isu berkaitan air yang masih terasa masin dan tekanan air rendah sedang dialami di Sandakan.

“Beliau juga menyatakan rasa tidak puas hati dengan maklum balas dari JANS,” katanya seperti mana dilaporkan oleh Harian Metro, hari ini.

Shahelmey berkata, bagi mendapatkan gambaran lebih jelas, pengarah JANS akan dipanggil tengah hari ini.

“Saya akan mengadakan perbincangan dengan Pengarah JANS tengah hari ini untuk mendapatkan status dan langkah bagi mengurangkan masalah yang sedang dihadapi,” katanya.

Menurut laporan itu, Vivian dalam kenyataan, semalam menuntut pengarah JANS dilucutkan jawatan serta-merta dan memohon maaf atas kegagalan pengurusan serta ketidakcekapan kerja menyebabkan penduduk Sandakan terpaksa menggunakan dan meminum air masin yang didakwa berlarutan hampir tiga bulan.

Pada masa sama, beliau mendakwa bekalan air di Sandakan juga sering terputus berikutan penutupan Loji Rawatan Air (LRA) Segaliud beberapa kali untuk kerja-kerja pembaikan paip.

Vivian turut mendakwa ramai pengguna yang terkesan akibat keadaan itu termasuk mengalami alahan kulit disebabkan kualiti air yang rendah, selain berdepan ketidakselesaan berikutan bekalan sering terputus. – SM

(Visited 196 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Back to top button