Ekonomi

Lapangan terbang tempatan rekod lonjakan trafik antrabangsa 53%

SUSULAN pembukaan semula sempadan pada 1 April lalu, trafik antarabangsa di rangkaian lapangan terbang tempatan Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) meningkat sebanyak 53 peratus.

MAHB yang menguruskan dan mengendalikan 39 lapangan terbang di negara ini merekodkan purata 23,000 pergerakan penumpang antarabangsa setiap hari dengan trafik memuncak melebihi 30,000 semasa cuti perayaan Aidilfitri yang panjang baru-baru ini.

“Secara keseluruhannya, lapangan terbang merekodkan 642,128 pergerakan penumpang antarabangsa, dengan Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu, Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang dan Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi menunjukkan peningkatan paling ketara, masing-masing lebih 200% berbanding bulan sebelum ini,” menurut laporan Bernama.

MAHB memaklumkan, sejumlah 2.78 juta penumpang direkodkan bagi Malaysia pada April dengan pergerakan penumpang domestik sebanyak 2.13 juta atau 77%.

Sementara itu, bagi operasi Malaysia dan Turki (Lapangan Terbang Antarabangsa Sabiha Gokcen Istanbul), MAHB merekodkan 4.90 juta pergerakan penumpang, penurunan sebanyak 7.9% daripada angka pada Mac.

“Penurunan pergerakan penumpang ini kerana April ialah bulan Ramadan yang menyaksikan permintaan untuk perjalanan dalam dan di seluruh dunia berkurangan.

“Daripada jumlah pergerakan trafik penumpang sebanyak 4.89 juta, lapangan terbang tempatan di Malaysia menyumbang 57%, manakala Lapangan Terbang Antarabangsa Sabiha Gokcen Istanbul di Turki mencatatkan 2.13 juta penumpang, terdiri daripada 1.05 juta penumpang antarabangsa dan 1.08 juta penumpang domestik,” katanya.

Menurut MAHB, lima syarikat penerbangan menyambung semula 17 laluan antarabangsa bulan lalu, iaitu Vietjet Air, Scoot, AirAsia, Thai AirAsia dan AirAsia X.

Pengarah urusannya, Iskandar Mizal Mahmood berkata, pihaknya juga gembira kerana lapangan terbang landasan pendek Tioman (TOD) beroperasi semula pada bulan ini untuk menyediakan laluan Lapangan Terbang Subang-TOD bagi SKS Airways.

Beliau berkata, pada masa ini SKS Airways merupakan satu-satunya syarikat penerbangan dengan perkhidmatan berjadual yang terbang di laluan ini empat kali seminggu.

“Kami akan terus bekerjasama rapat dengan syarikat penerbangan rakan kongsi untuk mempercepat kadar pemulihan sektor domestik dan antarabangsa,” katanya.

Vietjet menawarkan penerbangan bagi laluan Ho Chi Minh City-Kuala Lumpur (KUL) dengan perkhidmatan empat kali seminggu dan merupakan syarikat penerbangan keempat yang terbang di laluan ini, manakala Scoot menyambung semula perkhidmatan penerbangan hariannya untuk laluan Kota Kinabalu-Singapura.

Sementara itu, syarikat penerbangan AirAsia, termasuk AirAsia Bhd, Thai AirAsia dan AirAsia X, menyambung semula laluan Kota Kinabalu-Singapura; KUL-Hanoi; Langkawi-Singapura; Ipoh-Singapura; Hatyai-KUL; Don Mueng-Pulau Pinang; KUL-Incheon; KUL-New Delhi; KUL-Ho Chi Minh City; KUL-Bengaluru; KUL-Kolkata; KUL-Kochi; KUL-Chennai; KUL-Tiruchirappall dan KUL-Siem Reap. – SM

 

(Visited 201 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button