Nasional

Lapan premis ternakan babi punca air kotor, berbau di Tanjung Sepat

Lapan premis penternakan babi berdaftar di bawah Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) di atas tanah persendirian berstatus pertanian, dikenal pasti menjadi punca kepada pelepasan air kotor dan berbau ke pantai Tanjung Sepat, Kuala Langat di sini.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pelancongan, Alam Sekitar, Teknologi Hijau dan Hal Ehwal Orang Asli negeri, Hee Loy Sian, berkata ia susulan siasatan pihaknya mendapati terdapat air parit yang mengalir keluar daripada tanah lot persendirian dan akhirnya ke laut.

“Berdasarkan pemerhatian fizikal dan laporan persampelan, kualiti air parit itu adalah berada pada tahap yang rendah.

“Siasatan lanjut mendapati, aktiviti di kawasan ini hanyalah penternakan babi dan perladangan sawit dan disyaki aktiviti penternakan babi adalah punca kepada penurunan kualiti air parit ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Loy Sian berkata, aktiviti persampelan juga dilaksanakan oleh Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) di sekitar lokasi premis penternakan itu dan keputusan dicatatkan sangat signifikan dengan aktiviti berkaitan penternakan.


“Susulan itu LUAS mengeluarkan surat arahan kepada pemilik tanah di bawah Seksyen 121, Enakmen LUAS 1999, yang mengarahkan pemilik tanah untuk menjalankan kerja pemulihan dan pembaikan ke atas parit di dalam lot tanah sehingga kualiti (air) yang akan mengalir keluar berada pada tahap yang baik dan memuaskan.

“Pada masa sama, pemilik tanah juga diarahkan menjalankan kerja pemulihan dan pembaikan ke atas parit yang berada di luar lot tanah disebabkan impak yang berpunca daripada parit lot tanahnya,” katanya.

Loy Sian berkata, sekiranya pemilik premis gagal mematuhi arahan yang dikeluarkan oleh LUAS, satu kertas siasatan terperinci akan dilengkapkan dan diserahkan kepada pendakwa raya untuk tindakan perundangan selanjutnya.

Media pada 28 September lalu melaporkan, kerajaan Selangor mengenal pasti pencemaran sumber air dialami penduduk Tanjung Sepat, berpunca daripada kaedah konvensional aktiviti penternakan babi dan kawalan pencemaran, berdasarkan lawatan bersepadu pihaknya ke atas beberapa premis ladang ternakan itu di kawasan berkenaan, 23 September lalu.

Sebelum ini, sebuah akhbar tempatan melaporkan kegiatan penternakan babi di kawasan Tanjung Sepat sehingga menyebabkan penduduk setempat berdepan masalah pencemaran bau dan saliran air hampir 30 tahun. – BERNAMA

(Visited 43 times, 1 visits today)

Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button