Nasional

Lapan MoU akan dimeterai M’sia-Indonesia

PERDANA Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dijangka menandatangni lapan memorandum persefahaman (MoU) antara sektor swasta Malaysia dan Indonesia dengan jumlah projek dianggarkan bernilai RM1.16 bilion.

Perjanjian itu akan dimeterai dalam lawatan dua hari  Anwar ke negara jiran itu mulai hari ini.

GAMBAR IHSAN PMO

Anwar dan isteri, Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berlepas ke Indonesia pada kira-kira pukul 12.50 tengah hari tadi dari Kompleks Bunga Raya, KLIA bagi lawatan rasmi pertama Anwar sejak dilantik menjadi Perdana Menteri Malaysia Ke-10 pada 24 November tahun lepas.

Beliau diiringi Menteri Luar, Datuk Seri Zambry Abd Kadir, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz serta pegawai-pegawai kanan kerajaan.

Anwar dijadual mengadakan pertemuan dengan Presiden Indonesia Joko Widodo esok untuk Kuala Lumpur dan Jakarta menilai kemajuan kerjasama dua hala, meneroka peluang kerjasama baharu serta menggalakkan usaha bersama untuk menangani cabaran serantau dan global.

Antara isu yang akan dibincangkan termasuk kerjasama ekonomi serta potensi pelaburan oleh Malaysia di Ibu Kota Negara Nusantara, pembatasan sempadan darat dan maritim, serta pengambilan dan perlindungan pekerja dari Indonesia.

Kedua-dua pemimpin juga akan bertukar-tukar pandangan berkenaan perkembangan serantau dan global terutama situasi di Myanmar dan usaha bersama untuk menangani diskriminasi minyak sawit, memandangkan Malaysia dan Indonesia ialah pengeksport terbesar dunia.

Anwar turut dijadual menyampaikan syarahan umum mengenai hubungan strategik antara kedua-dua negara dan mengadakan sesi ramah mesra bersama diaspora Malaysia di Jakarta.

Pada 2021, Indonesia menjadi rakan dagang global ketujuh terbesar Malaysia dan ketiga terbesar dalam kalangan negara Asean dengan jumlah dagangan sebanyak RM95.31 bilion (USD22.98 bilion).

Pada Januari hingga November 2022, Indonesia menjadi rakan dagangan global keenam terbesar dan kedua terbesar dalam kalangan negara Asean dengan peningkatan jumlah dagangan sebanyak 41.7% dengan jumlah RM120.26 bilion (USD27.31 bilion). – BERNAMA – SM

(Visited 130 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button