Ekonomi

Rasai pengalaman jalinan Aidilfitri di Malaysia Airport

BUAT julung kalinya, Malaysia Airports bekerjasama dengan Kraftangan Malaysia untuk mempromosikan warisan budaya Malaysia yang berwarna-warni menerusi pameran tekstil. Bertemakan “Jalinan Aidilfitri: Pesona Kraf Tekstil”.

Kempen kolaboratif ini meraikan keindahan rekaan tekstil tempatan yang berwarna-warni dan malar segar seperti  Batik, Songket, dan Tenun oleh artis-artis tempatan yang menggambarkan sebuah perjalanan mengenali nadi dan jiwa Malaysia yang memukau.

Kempen yang bersempena dengan sambutan Hari Raya Aidilfitri ini bermula dari 16 Mac sehingga 15 Mei 2024 di semua lapangan terbang antarabangsa seluruh negara, selaras dengan komitmen Malaysia Airports untuk Menjalin Hubungan Ceria.

Di Terminal KLIA 1, para pengunjung akan disambut dengan tarikan utama yang menawan, Rumah Kampung Limas. Berdiri megah setinggi 24 kaki di Balai Pelepasan, Tingkat 5, karya agung ini dibina dan direka dengan teliti oleh Pembina tersohor, Masadan Mohsin.

Para pengunjung yang melawat tarikan ini boleh merasai sendiri keindahan tekstil Malaysia di setiap  penjuru, dari alas meja, sarung kusyen sehinggalah barangan dekorasi berasaskan tekstil.

Pengalaman ini bakal memberikan para pengunjung sekilas pandang tentang dunia budaya Malaysia yang berwarna-warni.

Para pengunjung berpeluang untuk mewarnakan cantingan batik yang ada di stesen mencanting batik di bahagian bawah rumah pameran.

Para pengunjung juga boleh menghayati suasana perkampungan yang tenang di sekitar Rumah Kampung Limas, dengan anjung laman yang dilengkapi dengan peralatan menenun songket tradisional.

Di samping itu, pengunjung dapat menyaksikan sendiri proses penghasilan songket dan mempelajari teknik tenunan songket dengan lebih teliti.

Kod QR yang terdapat di setiap kawasan pameran juga boleh diimbas dengan telefon pintar oleh pengunjung untuk melihat pemandangan memukau Wau batik terbang tinggi dengan latar belakang lapangan terbang.

“Kami berharap bahawa para pelancong tempatan dan antarabangsa akan turut bersama kami dalam meraikan warisan Malaysia menerusi tekstil di lapangan-lapangan terbang kami sepanjang sambutan Hari Raya ini.

“Penghasilan tekstil ini melibatkan kerja-kerja seni yang teliti, diwariskan secara turun temurun. Artis-artis yang berkemahiran tinggi telah mencipta fabrik tekstil ini dengan teliti menggunakan teknik-teknik tadisional dan kami amat berbangga untuk mempamerkan dan menonjolkan warisan kekayaan seni tersebut.

“Sebagai sebahagian daripada strategi RESET komersial, kami meletakkan keutamaan bagi memastikan para pengunjung kami mendapat pengalaman yang lebih gembira dan kami berharap mereka akan menikmati hasil karya yang mempersonakan di KLIA,” kata Pengurus Besar Kanan, Perniagaan Komersial Malaysia Airports, Hani Ezra Hussin.

Sementelahan, para pelancong dan pembeli-belah boleh menikmati promosi Hari Raya di sepanjang tempoh kempen tersebut dengan pelbagai tawaran eksklusif menanti di lapangan-lapangan terbang:

● Perbelanjaan bernilai RM800 di Terminal 1 dan Terminal 2 KLIA daripada 25 Mac sehingga 7 April bakal melayakkan pembeli-belah menerima baucar bernilai RM30.
● Perbelanjaan bernilai RM500 dari 25 Mac sehingga 7 April melayakkan baucar membeli-belah bernilai RM20, eksklusif di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang, Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi, dan Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu.
● Mulai 31 Mac hingga 21 April, para pengunjung yang berbelanja sehingga mencecah RM150 di Terminal 1 KLIA, Terminal 2 KLIA, Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang, Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi, dan Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu akan menerima paket Raya ekslusif.
● Dapatkan Bantal Leher Batik di Terminal 1 dan Terminal 2 KLIA menerusi sebarang pembelian bernilai RM1,000 dari 19 hingga 24 April.
● Bermula 27 Mac sehingga 14 April, pandu dan parkir kereta anda di Terminal 1 KLIA (Blok Tempat Letak Kereta Jangka Pendek A, B, atau C) untuk menikmati penjimatan sehingga 10% sepanjang hari. Dapatkan baucar parkir di https://shorturl.at/sIPWY.
● Dari sekarang hingga 7 Mei, jamu selera anda di kedai-kedai yang mengambil bahagian di Terminal 1 dan Terminal 2 KLIA, dan nikmati pulangan tunai sehingga 15%. Terbuka kepada pengguna Kad Kredit Maybank sahaja.

Para pengunjung juga boleh meraikan semangat Hari Raya di Seloka Bazaar Raya Istimewa bertempat di Teminal 1 dan Terminal 2 KLIA. Bazar ini menampilkan pelbagai peniaga yang menawarkan busana, seni dan kraf berasaskan tekstil hasil ciptaan anak-anak tempatan.

Pelbagai aktiviti dan persembahan Hari Raya oleh Kraftangan Malaysia bakal menghiburkan para pengunjung sepanjang berlangsungya kempen tersebut. Tarikh-tarikh aktiviti dan persembahan ini bakal diumumkan di laman-laman media sosial rasmi Malaysia Airports.

Layari www.malaysiaairports.com.my untuk maklumat lanjut atau ikuti kami menerusi Instagram dan Facebook di @shopmyairports. – SM

(Visited 23 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button