Politik

Lantikan syarikat Selangor urus sampah di Perak semasa kerajaan PH

KEPUTUSAN kerajaan negeri melantik syarikat pengurusan sampah dan sisa pepejal dari Selangor untuk melaksanakan kerja-kerja berkaitan di Perak dibuat sejak tahun lepas semasa pentadbiran Pakatan Harapan (PH), kata Menteri Besar, Ahmad Faizal Azumu .

Beliau berkata pemberian tender itu diputuskan bersama Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri kerana syarikat berkenaan berpengalaman luas untuk bekerjasama dengan syarikat milik kerajaan negeri iaitu Majuperak Holdings Berhad (MHB).

“Jadi, kepada rakan-rakan saya yang bersama-sama membuat keputusan (sebelum ini) diharap dapat meneliti semula keputusan yang sama-sama telah kita buat dahulu (sebelum mengeluarkan sebarang kenyataan).

“Saya berasa pelik juga pihak PH membangkitkan perkara ini kerana ini adalah hasil daripada keputusan kerajaan PH sendiri yang saya sendiri ketuai pada ketika itu di negeri Perak,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan Program Bumi Hijau Negeri Perak 2020 yang turut dihadiri Exco Pertanian, Perikanan, Perladangan dan Sekuriti Makanan negeri, Abdul Yunus Jamahri di Bangunan Perak Darul Ridzuan di Ipoh, hari ini.

Ahmad Faizal mengulas kenyataan Ketua Pembangkang Perak Dr Abdul Aziz Bari yang menggesa kerajaan negeri memberi penjelasan berhubung kontrak pengurusan sisa pepejal diberi kepada sebuah syarikat dari Selangor, Mainiza Teknitek Recowaste Sdn Bhd (MTR) tanpa melalui tender terbuka.

Abdul Aziz yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tebing Tinggi mendakwa tindakan dibuat secara “mengejut, tidak telus, dan merugikan rakyat” itu bersifat monopoli dan dibimbangi menyebabkan kenaikan harga atau caj perkhidmatan.

Pada 15 Jun lepas, MHB yang merupakan anak syarikat Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP) mengumumkan kepada Bursa Malaysia bahawa ia mengadakan usaha sama dengan syarikat swasta MTR.

Notis itu dikeluarkan setelah MTR memberitahu MHB bahawa kerajaan negeri telah bersetuju untuk melantik kedua-dua syarikat tersebut untuk menjalankan pengurusan sisa pepejal dan pembersihan awam di Perak.-BERNAMA 

(Visited 291 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button