fbpx
Nasional

Lantik bekas hakim, profesor ketuai SPR

BUKAN isu kecekapan, efisien atau keupayaan Datuk Azhar Azizan Harun melakukan perubahan menambah baik sistem pilihan raya, tetapi ia banyak berkisar soal prinsip pelantikan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) itu yang bercanggah dengan Perkara 114(2).

Terpanggil membangkitkan perkara itu, bekas Timbalan Pengerusi SPR, Datuk Wan Ahmad Wan Omar menegaskan, peruntukan Perlembagaan Persekutuan itu jelas
menyatakan “pada melantik ahli-ahli SPR, Yang di-Pertuan Agong hendaklah memandang kepada mustahaknya diadakan suatu Suruhanjaya Pilihan Raya yang mendapat kepercayaan awam”.

“Saya tak kenal Azhar (pengerusi), Dr Azmi Sharom (timbalan pengerusi)) dan Zoe Randhawa (ahli SPR) tetapi saya berpegang pada prinsip bahawa jika mereka ini aktivis politik (Bersih) pro Pakatan Harapan (PH) yang aktif sebelum pilihan raya umum ke-14 (PRU-14), maka pelantikan mereka ini dibuat atas dasar `lantikan politik’ yang menyalahi Perkara 114(2).

“Implikasinya, kalau sudah bekas pemimpin Bersih dan aktivis politik yang tidak berkecuali diberi amanah sebagai pengerusi SPR dan ahli SPR, ia sama lah seperti mana andai kata pemimpin UMNO atau Pas dilantik mengetuai SPR.

“Sebab itu mereka ini perlu meletak jawatan supaya pelantikan yang berwibawa dari segi keberkecualian kelak terbukti,” kata beliau kepada Suara Merdeka hari ini.


Wan Ahmad yang berpengalaman sebagai Setiausaha SPR selama lapan tahun (1997-2004) sebelum dilantik Timbalan Pengerusi dari 2005 hingga 2013 serta terlibat mengendalikan empat PRU, 52 pilihan raya kecil (PRK) serta dua kali persempadanan semula bahagian pilihan raya mengesyorkan kerajaan Perikatan Nasional mengisi jawatan Pengerusi SPR dari kalangan bekas hakim, profesor universiti atau pegawai kanan kerajaan bersara.

“Apabila Bersih pertahankan Azhar, saya tidak terkejut kerana sudah tentu Bersih menbela anggotanya. Demikian juga nada sama dari kumpulan G25 sebab kita tahu siapa mereka ini yang diragui majoriti rakyat Malaysia dari segi sikap dan ideologi mereka.

“Kesilapan PH melantik mereka perlu diperbetulkan oleh kerajaan PN,” kata Wan Ahmad. – SM

Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Back to top button