NasionalNegeri

Lans Koperal polis tembak mati isterinya

SEORANG anggota polis berpangkat Lans Koperal menembak mati isterinya pada kira-kira pukul 6 pagi ini di bilik tidur di Kampung Bendang Baru, Simpang Empat, Perlis.

Mangsa yang ditemukan di atas katil dalam keadaan mengiring itu didapati mempunyai kesan tembakan pada bahagian bawah mata kiri.

Ketua Polis Daerah Kangar, Assisten Komisioner, Yusharifuddin Mohd Yusop pada sidang media di pejabatnya petang ini berkata, mangsa Safsufarnisya Salleh, 26 disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

Beliau berkata, pihaknya akan mendapatkan perintah reman dari mahkamah Kangar esok untuk siasatan lanjut.

Beliau berkata, kes ini akan disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan (KK) yang membawa hukuman gantung sampai mati atau penjara seumur hidup kalau disabitkan kesalahan.

Yusharifuddin berkata, suspek yang bertugas selama empat tahun di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kangar ini telah ditahan dan setakat ini tidak mempunyai sebarang rekod jenayah lampau.

Beliau berkata, suspek yang menggunakan pistol Walther P99 itu dikatakan telah melepaskan lebih lima das tembakan.

“Bapa mertua suspek pada mulanya mendengar bunyi jeritan dari arah bilik anaknya ketika bangun untuk solat Subuh pada pukul 5.30 pagi ini dan ketika itu beliau mendapati tiada sebarang kejadian buruk berlaku,” katanya.

Bagaimanapun katanya, selepas bapa mertua mendengar tembakan pertama pada pukul 6 pagi, beliau dan isterinya (ibu mertua suspek) keluar dari rumah untuk menyelamatkan diri. – SM

(Visited 412 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button