Parlimen

Lanjut moratorium, KWSP RM10,000 syarat BN sokong Belanjawan 2021

BARISAN Nasional meletakkan dua syarat utama untuk parti itu menyokong Belanjawan 2021.

Syarat itu dikemukakan Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan Barisan Nasional (BNBBC) Datuk Seri Najib Tun Razak dalam Perbahasan peringkat Dasar Rang Undang-undang Perbekalan 2021 di Dewan Rakyat hari ini.

“Sokongan ahli-ahli Parlimen Barisan Nasional kepada Belanjawan 2021 tertakluk kepada persetujuan Kerajaan untuk meluluskan Pengeluaran Akaun1 KWSP RM10,000 One-Off dan lanjutan moratorium secara pukal 6 bulan lagi sehingga 30 Jun 2021,” kata Najib.

Dalam pembentangnya, Najib berkata, wang RM10,000 dari KWSP tersebut amat diperlukan oleh pencarum.

Antara sebabnya, pembayaran one-off ini sebanyak RM10,000 boleh digunakan sebagai penyelesaian hutang tunggakan mereka seperti bil utiliti, bayaran sewa atau pinjaman rumah, keperluan untuk anakanak, caruman insurans tertunggak dan sebagainya.


Selain daripada itu, wang tersebut juga boleh digunakan sebagai modal asas untuk memulakan perniagaan kecil terutama sekali bagi mereka yang sudah kehilangan kerja.

“Sebagai contoh, wang ini juga boleh digunakan untuk membeli peralatan seperti motosikal bagi menjadi pemandu penghantar makanan atau barangan.

“Rakyat juga boleh menjadikan wang tersebut sebagai modal permulaan untuk memulakan perniagaan secara dalam talian atau “online business” yang kini semakin pesat mengembang. Keperluan ini tidak dapat dipenuhi sekiranya dibayar cuma RM500 setiap bulan sahaja,” kata Najib.

Mengenai lanjutan moratorium, Najib berkata, jika kerajaan boleh melanjutkan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat berkali-kali yang akan menjejaskan pendapatan rakyat maka moratorium juga boleh dilanjutkan secara automatik dan pukal sekali lagi.

Katanya, pihak bank masih meraih keuntungan yang besar walaupun moratorium dilanjutkan. Najib turut meminta agar lanjutan moratorium bukan sahaja untuk golongan B40 tetapi juga kumpulan M40.

“Pada bajet kali ini, kerajaan hanya memanjangkan moratarium kepada golongan B40, itu pun tidak kepada semua.

“Ini secara tidak langsung seakan-akan melupakan golongan M40 yang juga menerima kesan yang besar daripada situasi yang kita hadapi kini, malah rata-rata golongan M40 menyuarakan ketidakpuasan mereka bahawa bajet ini tidak memberi banyak manfaat kepada mereka

“Saya dengan ini, mencadangkan agar inisiatif moratorium pukal perlu dipanjangkan kepada semua peminjam, termasuk moratorium untuk pinjaman-pinjaman daripada Amanah Ikhtiar Malaysia dan TEKUN
untuk tempoh 6 bulan yang akan datang sehingga 30 Jun 2021,” kata Najib.

Jelas Najib, kerajaan perlu mengambil langkah yang berani dan luar biasa dalam keadaan yang luar biasa ketika negara berhadapan dengan Covid-19.

Dana amat diperlukan untuk menaikkan kitaran wang dalam ekonomi pada masa perbelanjaan kerajaan adalah terhad serta membantu rakyat yang amat terdesak dan terkesan pada masa ini.

Menurut Najib, cadangan pelanjutkan moratorium membenarkan pengeluaran dari akaun 1 KWSP kerana dana tersebut tidak termasuk dalam perbelanjaan kerajaan atau pengiraan defisit negara.

“Pada pendapat saya, dana ini amat diperlukan untuk menaikkan kitaran wang dalam ekonomi pada masa perbelanjaan kerajaan adalah terhad serta membantu rakyat yang amat terdesak dan terkesan pada masa ini.

“Wang yang dikeluarkan dari akaun pencarum pada masa ini mampu dipulihkan dengan sokongan kerajaan dalam masa setahun atau dua tahun lagi pada masa hadapan selepas krisis Covid berlalu.

“Tiada seorang pun yang berkata bahawa wang yang dikeluarkan sekarang tidak boleh dipulihkan pada masa akan datang,” jelas Najib.-SM

(Visited 127 times, 1 visits today)

Show More

KHAIRULANUAR YAHAYA

Khairulanuar mempunyai pengalaman sebagai wartawan di Karangkraf, Bernama TV dan terakhir di Utusan Malaysia. Pernah membuat liputan kemanusiaan di Gaza, Pakistan, Jepun, Somalia, Lubnan dan Syria. 'Kehilangan' jurukamera, Noramfaizul ketika sama-sama bertugas di Somalia sesuatu yang tidak pernah beliau lupakan.

Related Articles

Back to top button