Nasional

lebih 100 rumah haram diroboh untuk projek Chenang 2 – Mukhriz

LEBIH 100 rumah yang dibina secara haram di atas tanah kerajaan di kawasan Pantai Pasir Berdengung di Langkawi dirobohkan untuk pelaksanaan projek pembangunan Chenang 2 yang dijangka bermula tahun hadapan.

Menteri Besar Kedah Datuk Seri Mukhriz Tun Dr Mahathir berkata rancangan untuk projek berkenaan sudah dibuat sejak pemerintahan kerajaan terdahulu, dan kini premis-premis berkenaan perlu dirobohkan untuk meneruskan agenda tersebut.

“Ini tanah kerajaan dan Lada (Lembaga Pembangunan Langkawi). Lagi pula kebanyakan rumah yang dibina di situ adalah bangunan bersifat komersial iaitu homestay dan chalet.

“Ada unsur keuntungan, tanah yang tidak diluluskan kerajaan. Apa juga binaan mestilah kena dapat kelulusan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Belia Kedah di Wisma Darul Aman di sini, hari ini.

Mukhriz Mahathir
Mukhriz Mahathir

Sejak beberapa hari lepas, isu rumah yang dirobohkan itu tular dalam media sosial termasuk aplikasi WhatsApp yang antaranya mendakwa kerajaan Pakatan Harapan (PH) tidak mempedulikan nasib penduduk di situ.

Dalam pada itu, Mukhriz berkata beliau difahamkan penduduk yang terlibat akan diberi sedikit pampasan yang bersesuaian dengan keadaan.

Mengenai Chenang 2, katanya projek itu akan memberikan impak besar kepada ekonomi negeri selain membuka banyak peluang pekerjaan kepada penduduk tempatan, sekaligus merancakkan lagi sektor ekonomi di negara ini.

Sementara itu, beliau berkata Sidang DUN Belia yang julung kalinya diadakan itu merupakan satu pendekatan baik yang akan membuka ruang seluas-luasnya kepada golongan belia untuk bersuara secara rasmi.

“Jadi kita (kerajaan negeri) ada pandangan dan dapat respon daripada belia ini yang mana penting perlu diambil kira oleh kerajaan negeri. Kita tidak mahu perancangan dilakukan kerajaan negeri macam syok sendiri,” katanya.

Sidang DUN itu berlangsung bermula semalam dan hari ini manakala akan bersambung semula pada 13 dan 14 Jan depan. – BERNAMA

(Visited 265 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button