Analisis

Apa sudah jadi dengan Umno?

SAYA sempat menghadiri perasmian Laman Media pada perhimpunan agung UMNO tempoh hari. Dalam kesibukan jadual Ketua Penerangan UMNO yang baharu, Datuk Seri Azalina Othman Said sempat meluangkan masa untuk duduk berbual dengan para editor.

Saya seperti biasa agak lantang mengemukan pandangan apatah lagi melibatkan kepentingan masyarakat. Dan itu memang naluri semulajadi seorang wartawan.

Antara persoalan yang dilontar oleh Azalina adalah mengapa masyarakat menunjukkan minat luar biasa terhadap perhimpunan agung UMNO pada setiap kali ia berlangsung.

Jawapan saya mudah sahaja kerana parti berkenaan telah menjadi tonggak pemerintahan negara ini lebih 60 tahun dan lebih menjadi perhatian kali ini kerana parti itu bersekongkol dengan DAP yang merupakan musuh mereka berabad-abad lamanya.

Selain menjadi parti terbesar orang Melayu, UMNO juga diharap membangkitkan isu kepentingan kaum berkenaan dan agama Islam yang menjadi anutan mereka.

Itulah yang selalu ditunggu setiap kali perhimpunan itu berlangsung. Berbeza dengan parlimen ia hanya dibawa oleh ahli parlimen, tetapi pada perhimpunan UMNO pemimpin kecil juga diberi ruang untuk berucap menyuarakan suara akar umbi dan orang Melayu umumnya.

Namun agak mengecewakan kerana perkara itu tidak berlaku kali ini. Perhimpungan agung UMNO lebih kepada medan untuk menyucikan teman sebantal baharu iaitu DAP.

Pada awalnya ketua pemuda UMNO kelihatan agak berani kerana mahukan parti cauvinis Cina itu supaya memohon maaf kepada orang Melayu dan UMNO kerana selama ini telah mengeluarkan kenyataan-kenyataan yang mengguris perasaan orang Melayu dan ahli UMNO.

Namun ia tidak bertahan lama kerana selepas diserang oleh pelbagai pihak dan kembiri oleh presiden Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, ketua pemuda sudah menjadi ketua pasukan sorak sahaja dan laju membuat pusingan U.

Begitulah perhimpunan parti umat Melayu itu, memang setiap kali telah digarap dramanya, namun kali garapannya tidak kemas dan akhirnya menjadi hambar serta bahan ketawa kawan dan lawan.

Yang menari satu sahaja, kehadiran Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai perdana menteri, selepas kira-kira 30 tahun dipecat daripada UMNO. Sekali fikir parti PKR sudah wajar dibubarkan dan para ahlinya seharusnya menyertai sahaja UMNO kerana mereka diketuai oleh pemimpin yang sama.

Perjuangan untuk keadilan Anwar juga sudah tercapai, jadi adalah lebih baik parti berkenaan dibubarkan sahaja.

Jadi tidaklah rakyat negara ini berpecah-belah dengan lebih teruk lagi dengan fahaman dan parti politik yang caca marba.

Para penyokong PKR pun sudah tidak berselera untuk berguling di atas jalan dan bertempur dengan anggota FRU kerana tiada lagi perkara yang mahu diperjuangkan kerana pemimpin tertinggi mereka sudah menjadi perdana menteri dan kini sedang mendera dan mendendami musuh politik mereka.

 

(Visited 142 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button