Politik

Langgar SOP Demi PRN Johor, Lebih Tiga Pemimpin BN Dikenakan Kompaun

Menteri Kanan Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Hussein reda dikompaun kerana melanggar prosedur operasi standard (SOP) pada program pelancaran Briged MIC Johor.

Hishammuddin yang juga Bendahari Barisan Nasional (BN) berkata, beliau akan berhadapan dan bertanggungjawab atas kesalahannya itu.

“Kalau kita langgar SOP kena bayar kompaun. Inilah saya punya kebimbangan. Bila kita buat program dan benarkan program politik, ia susah nak dikawal.

“Jadi jika tak boleh dikawal dan melanggar SOP, mereka terpaksa berhadapan dengan kompaun.

“Saya reda jika membabitkan diri sendiri,” katanya ketika ditemui media selepas pelancaran program berkenaan.

Terdahulu, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengarahkan tiga pemimpin BN yang hadir ke pelancaran Briged MIC Johor yang berlangsung petang hari ini dikompaun kerana melanggar SOP.

Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin dilaporkan mengarahkan pegawai KKM Putrajaya mengeluarkan kompaun itu terhadap Hishammuddin, Presiden MIC Tan Sri SA Vigneswaran dan Pengerusi BN Johor Datuk Seri Hasni Mohammad.

Program pelancaran Briged MIC Negeri Johor diadakan di Stadium Tertutup Educity di sini, bermula 5 petang sebelum berakhir pada 7.15 malam dan dihadiri 3,000 ahli MIC.

Dalam pada itu, Hishammuddin yang juga Ahli Parlimen Sembrong berkata, apabila datang ke satu-satu program, beliau sendiri tidak tahu apa yang akan berlaku.

“Sebab itu, dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor kali ini kita kena ambil kira kelonggaran yang diberi. Masalahnya kita susah nak kawal (jika program/kempen dibenarkan).

“Ini akan diambil kira Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) nanti apabila nak menentukan SOP masa PRN Johor

“Bagi diri saya, jika ada kesalahan dalam pelanggaran SOP kali ini, nak ambik tindakan, saya alu-alukan. Salah tetap salah,” katanya.

(Visited 311 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button