BeritaNasional

Kematian bayi pramatang akibat kecuaian disiasat

KUALA TERENGGANU – Jabatan Kesihatan negeri Terengganu melakukan siasatan berhubung kematian seorang bayi kelahiran pramatang yang didakwa akibat kecuaian kakitangan di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) baru-baru ini.

Pengarahnya, Dr. Nor Azimi Yunus berkata, dalam situasi kes kecemasan, perawatan akan diberikan sebagaimana prosedur operasi standard (SOP) yang digariskan tanpa perlu menunggu proses pendaftaran pesakit selesai.

“Penjelasan berkaitan keadaan bayi dan risiko komplikasi kelahiran pramatang telah dimaklumkan semasa perjumpaan bersama bapa mangsa selepas kelahiran iaitu pada pagi 8 Disember (Ahad lepas).

“Penjelasan lebih lanjut juga telah diberikan oleh Pakar Neonatologi kepada kedua-dua ibu bapa bayi tersebut pada 9 Disember selepas beberapa siri ujian dan pemeriksaan lanjut dibuat ke atas bayi kelahiran pramatang tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Kisah kematian bayi itu tular dalam media sosial apabila pemilik akaun Facebook bernama ‘Kelana Jagat’ melahirkan kekecewaannya dengan layanan kakitangan HSNZ yang didakwa cuai sehingga menyebabkan kematian anaknya.

Posting bertajuk ‘Kematian Mohamed Alauddin Ariff Mohamed Riduan’ tersebut dimuat naik 7.19 pagi semalam dan sehingga tengah hari ini menerima 4,400 komen dan 3,100 perkongsian oleh netizen.

Mengulas lanjut, Dr Nor Azimi berkata, Jabatan Kesihatan negeri mengucapkan takziah kepada beliau dan pasangan atas pemergian cahaya mata mereka.

“Jabatan sekali lagi ingin mengucapkan takziah dan menzahirkan rasa simpati kepada kedua-dua ibu bapa terbabit dan berharap pihak keluarga diberikan ruang privasi oleh semua pihak pada masa yang sukar ini.

Beliau berharap orang ramai tidak membuat sebarang spekulasi tanpa merujuk kepada sumber maklumat yang sahih.

“JKN Terengganu sentiasa mengalu-alukan maklum balas berkaitan perkhidmatan yang diberikan demi penambahbaikan jabatan ini. Sebarang cadangan atau aduan boleh diajukan melalui Sistem Pengurusan Aduan Awam Kementerian Kesihatan Malaysia di pautan https://moh.spab.gov.my,” katanya.

— BERNAMA

(Visited 425 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button