JenayahNasional

Langgar SOP: 37 dibawa ke IPD Pasir Mas berselawat atas trak

SERAMAI 37 individu berselawat di atas trak ketika dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pasir Mas, Kelantan selepas ditahan kerana melanggar prosedur standard operasi (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Memetik laporan Berita Harian, terdahulu, individu terbabit ditahan kerana menunaikan solat Isyak berjemaah di dua surau dalam Mukim Chetok, Tok Uban, Pasir Mas, pada pukul 9 malam kelmarin.

Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Assisten Komisionar Mohd. Nasaruddin M Nasir berkata, individu yang ditahan itu berusia antara 20 hingga 70 tahun.

“Sebanyak 28 saman dikeluarkan di masjid pertama yang diserbu manakala sembilan lagi diberikan kepada jemaah di surau berlainan pada hari sama.

“Mereka dikenakan kompaun atas kesalahan tidak memakai pelitup muka selain menunaikan solat Isyak berjemaah walaupun sedia maklum ia tidak dibenarkan sepanjang PKP,” katanya.

Nasaruddin berkata, tindakan individu terbabit sekali gus melanggar SOP termasuk dari segi penjarakan fizikal yang bukan sahaja membahayakan malah memberi risiko kepada penularan Covid-19.

“Masyarakat sepatutnya mematuhi segala arahan kerajaan demi keselamatan bersama terutama untuk mengekang kenaikan jumlah mangsa Covid-19 yang semakin membimbangkan terutama di Kelantan,” ujar beliau.

Beliau berkata, terdapat juga jemaah terdiri daripada kanak-kanak berusia antara lima hingga 10 tahun namun polis hanya memberi nasihat memandangkan mereka di bawah umur.

Terdahulu, tular di media sosial video memaparkan sekumpulan individu yang ditahan polis berselawat di atas trak ketika dibawa ke IPD Pasir Mas. – SM

 

(Visited 232 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Back to top button