Nasional

Lambang penghargaan buat warga KKM – Tan Sri Dr. Noor Hisham

ANUGERAH Darjah Panglima Setia Mahkota (PSM) yang membawa gelaran ‘Tan Sri’ merupakan lambang kepercayaan Yang Di-Pertuan Agong terhadap warga Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Itu merupakan reaksi Dr. Noor Hisham Abdullah yang menerima anugerah tersebut sempena Hari Keputeraan Rasmi Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah hari ini.

Menurut Dr. Noor Hisham, anugerah berkenaan juga merupakan satu penghargaan kerajaan terhadap penjawat awam.

Beliau berharap dengan penghargaan yang diberikan akan membakar semangat petugas KKM untuk terus menjalankan tanggungjawab demi kesihatan rakyat dan keselamatan negara,

“Alhamdulilah, gelaran dan darjah kebesaran ini merupakan satu penghormatan kepada semua petugas barisan hadapan dan di belakang tabir Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM). Ianya sekaligus merupakan lambang kepercayaan dan penghargaan Kerajaan kepada penjawat awam.

“Semoga segala penghargaan yang dikurniakan kepada para petugas dalam memerangi pandemik COVID-19 ini akan membakar semangat kami semua untuk terus menjalankan tugas demi kesihatan rakyat dan keselamatan negara,” kata Dr. Noor Hisham.

Dr. Noor Hisham dan warga KKM ketika ini berusaha mengekang jangkitan virus maut Covid-19 di seluruh negara sejak ia mula dikesan hujung tahun lalu.

Kesungguhan Dr. Noor Hisham, warga KKM dan agensi kerajaan yang lain membuatkan warga Malaysia berasa bangga memiliki petugas awam yang komited dalam memastikan rakyat Malaysia kekal sihat dan tidak dijangkiti oleh virus maut itu. -SM

(Visited 433 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button