Politik

Anwar diselar beri label negatif golongan muda

Srikandi BERSATU menyelar kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang sewenang- wenangnya melabelkan golongan muda termasuk mahasiswa sebagai tali barut, pencacai dan ‘walaun’ sekali gus mengheret mereka ke dalam kancah permainan politik yang beliau rancang.

Exco Srikandi Bersatu, Zeti Zanariah Masiran berkata, pihaknya kecewa dengan label negatif tersebut dan merupakan penghinaan terhadap golongan muda ketika mana mereka sebenarnya lebih neutral dan sedang melalui proses kematangan dengan mencari, menyaring serta menyerap input persekitaran termasuk membuat pemerhatian dan menilai tindak-tanduk pemimpin politik.

Golongan muda era ini sebenarnya sinonim dengan keterbukaan dan keterhubungan dengan pelbagai unsur menerusi media sosial sekali gus membolehkan mereka membuat keputusan lebih tepat serta matang tanpa perlu menjadi tali barut, pencacai atau ‘walaun’ mana-mana pihak atau minta disogok dengan wang ringgit untuk membeli sokongan atau pendirian masing-masing.

Justeru, Srikandi BERSATU amat kesal dengan tuduhan dan hasutan yang sering dilemparkan oleh Anwar dan kali ini label negatif itu ditujukan kepada golongan muda termasuk yang menuntut di institusi pengajian vokasional dan teknikal selepas mereka dilihat terus menjauhi PH selepas menolak kepemimpinan itu sejak Pilihan Raya Umum ke-15 lalu.

Kata Zeti Zanariah, kenyataan melulu Perdana Menteri itu semalam juga sekali lagi mengulangi perbuatan yang sama selepas beliau sebelum ini mengaitkan rakyat miskin sanggup diupah untuk menimbulkan apa juga kekacauan konon didalangi pihak yang ‘desprate’ untuk menggugat Kerajaan PH.

Sebaliknya, Srikandi BERSATU menasihati Anwar supaya lebih profesional serta jangan terlalu banyak ‘berdrama’ dan berhenti menggunakan platform perhimpunan untuk memfitnah serta memburuk-burukkan pihak tertentu kerana perbutan itu mengundang persepsi negatif terhadap kewibawaan beliau sebagai pemimpin nombor satu negara.

Srikandi BERSATU turut meminta Perdana Menteri memberi tumpuan kepada usaha menggandakan pertumbuhan ekonomi dan mensejahterakan rakyat termasuk membawa masuk pemodal tempatan mahupun asing kerana pelaburan itu bakal mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan sekali gus membolehkan rakyat bekerja dan menyara kehidupan keluarga sekali gus mengurangkan kadar pengangguran di kalangan golongan muda.

Semalam Anwar berkata  golongan muda diingatkan untuk mempunyai ciri idealisme yang mana memiliki sikap keyakinan dan berminat untuk membawa perubahan bukan sahaja kepada diri sendiri bahkan kepada masyarakat secara umum.

Anwar menegaskan, golongan berkenaan juga tidak boleh memiliki perangai yang lebih teruk daripada golongan ‘orang tua’ di mana mereka menjadi ‘tali barut’ dengan mempertahankan penyelewengan dan penindasan.

Ahli Parlimen Tambun itu juga berharap agar golongan muda dapat melihat dan mengkaji sesuatu informasi atau maklumat sebelum membuat sebarang keputusan selain tidak hanya menjadi ‘pak turut’ kepada mana-mana pihak yang ingin mengambil kesempatan ke atas mereka.

“Ada (golongan) anak muda tetapi perangai (mereka) lebih teruk daripada orang tua, ada anak muda tetapi (mereka) menjadi tali barut atau pencacai (dengan mempertahankan penyelewengan dan penindasan).

“Apa erti (kita punyai) anak muda sebegitu, menjadi anak muda ikut sahaja (apa yang diperkatakan dan menjadi) sebagai macai (yang) tidak berfikir, ataupun sebagai ‘walaun’.

“Anak muda (yang) kita (mahukan adalah punyai) nilai dari segi keyakinan dan minat hendak bawa perubahan, minat dalam menimba ilmu, minat dan cita-cita membawa kebaikan, itu yang disebut (ciri) idealisme,” katanya.

Anwar berkata demikian ketika Sesi Santai Petang dan Dialog bersama Perdana Menteri di Dewan Gunung Mat Chinchang, Kolej Vokasional Langkawi, pada Rabu.

Dalam perkembangan sama, Perdana Menteri turut menzahirkan harapan agar golongan muda tidak tertipu dengan propaganda politik yang dimainkan pihak tertentu selain perlu dilatih untuk membuat penilaian dengan baik terhadap sesuatu perkara.

“Begitu juga hak dalam memilih (atau) mengundi, (ada yang dakwa) kalau sokong Anwar, dia akan sokong LGBT, kalau sokong Anwar, (orang) Cina akan berkuasa, (semua) ini tidak betul.

“Ini jadi masalahnya (sebenarnya), maknanya kita (semua terutama orang muda) tertipu dengan propaganda politik, (contohnya) pada masa kempen (PRU-15), mereka kata kalau sokong Anwar, Islam akan dibenamkan, (semua itu tidak benar),” katanya lagi.

(Visited 476 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button