Rencah Hidup

Laki bini mana yang bergaduh ni?

Notis permohonan maaf dan meminta supaya diberikan peluang kedua yang dicetak di atas kertas bersaiz kertas A4 menimbulkan tanda tanya kepada penduduk di sekitar Kota Damansara.

Notis tertulis ayat ‘Sorry Bie, give me one chance’ itu telah ditampal di atas papan-papan tanda di sepanjang jalan dari simpang untuk membuat pusingan-u di Kota Damansara hingga ke persimpangan lampu isyarat di Sungai Buloh, Selangor.

Tidak dapat dipastikan sama ada si pelaku yang menampal notis permohonan maaf itu merupakan seorang lelaki atau wanita.

Juga tidak dapat dipastikan sama-sama pasangan terbabit merupakan sepasang kekasih atau sudah berkahwin kerana notis yang ditampal itu terlalu ringkas.

Seorang pengguna Facebook bernama Idora yang berkongsi kejadian yang agak melucukan itu mensyaki pasangan yang sedang bergaduh itu merupakan pasangan suami isteri.


Menurut beliau notis bersaiz kertas A4 itu mungkin tidak akan mendapat perhatian oleh pasangan kepada si pelaku kerana saiznya yang terlalu kecil.

Katanya, si pelaku sepatutnya memasang banner bersaiz besar sekiranya dia benar-benar mahu memohon maaf dan mahu mendapatkan peluang kedua daripada pasangannya.

“Ni siapa pulak dah gaduh laki bini ni? Sepanjang jalan dari traffic light untuk u-turn dari Kota Damansara ke traffic simpang Sungai Buloh ada ditampalnya kertas A4 ni.

“Kalau pasangan dia jenis kepochi macam aku, semua benda nak perhati, mungkin dia akan perasan tapi kalau sudah kalut lambat nak pergi ofis memang tak nampak la. Patutnya kena rentang banner melintang jalan ni,” kata Idora.

Beberapa rakan Idora mensyaki jalan yang menjadi tempat notis itu ditampal merupakan laluan harian pasangan kepada si pelaku.

Ada yang berpendapat bahawa si pelaku yang menampal notis tersebut telah membuat kesalahan yang besar terhadap pasangannya.

“Aduii macam-macam. Inilah dikatakan masalah rumah tangga bawak ke jalan,” kata rakannya.

“Tak letak nama la pulak. Ada yang semua yang tengah gaduh terasa pulak,” kata seorang lagi dalam ruangan komen.

“Kan. Masing-masing fikir pasangan dia yang buat,” tambah seorang lagi sambil meletakkan ikon muka ketawa.-SM

(Visited 151 times, 1 visits today)

Show More

KHAIRULANUAR YAHAYA

Khairulanuar mempunyai pengalaman sebagai wartawan di Karangkraf, Bernama TV dan terakhir di Utusan Malaysia. Pernah membuat liputan kemanusiaan di Gaza, Pakistan, Jepun, Somalia, Lubnan dan Syria. 'Kehilangan' jurukamera, Noramfaizul ketika sama-sama bertugas di Somalia sesuatu yang tidak pernah beliau lupakan.

Related Articles

Back to top button