Politik

Pembangkang tidak perlu lagi sibuk tanya siapa calon PM seterusnya

PARTI-parti dalam gabungan pembangkang tidak lagi seharusnya sibuk dengan pertanyaan siapa calon Perdana Menteri Malaysia yang seterusnya.

Sebaliknya, menurut Ketua Setiausaha Pengelola PKR NIk Nazmi Nik Ahmad, setiap pihak dalam gabungan parti pembangkang telah menyatakan pendirian masing-masing.

Beliau menambah, satu hakikat yang harus dihormati dalam kalangan parti pembangkang adalah Ketua Pembangkang di Parlimen juga telah dipilih.

“Sekali lagi, kita tidak seharusnya sibuk dengan pertanyaan siapa calon Perdana Menteri kita yang seterusnya. Setiap pihak telah menyatakan pendirian masing-masing. Ketua Pembangkang di Parlimen juga telah dipilih. Hakikat ini harus dihormati.

“Yang penting adalah parti-parti dalam Pembangkang menumpukan perhatian kepada usaha untuk memastikan kerajaan bertanggungjawab di atas tindakannya dan memastikan ada dasar-dasar yang baik untuk memudahkan pemulihan ekonomi,” kata Ahli Parlimen Setiawangsa itu.

Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim telah dipilih sebulat suara oleh ahli Parlimen pembangkang untuk dilantik sebagai Ketua Pembangkang dalam Dewan Rakyat.

Menurut Nik Nazmi, ahli Parlimen dihantar ke Dewan Rakyat bagi memastikan rakyat Malaysia mempunyai pekerjaan, pendidikan, bantuan dan peluang yang selayaknya.

Justeru kata beliau, pemimpin pembangkang tidak harus fokus kepada jawatan tetapi mempertahankan kepentingan rakyat dalam masa-masa yang dianggap getir sekarang.

“Kita tidak seharusnya terus mengungkit pertikaian lama tetapi fokus pada masa hadapan.

“Kita tidak boleh menafikan bahawa kemenangan Pakatan Harapan pada Pilihan Raya Umum 2018 bukanlah usaha mana-mana individu atau parti secara bersendirian.

“Ia adalah usaha kolektif, dengan pengorbanan orang ramai, dan akhirnya membuahkan hasil kerana sokongan rakyat Malaysia,” kata Nik Nazmi.

Nik Nazmi juga berkata, rakyat telah memberikan sokongan kepada Pakatan Harapan pada Pilihan Raya Umum ke-14 kerana manifesto Buku Harapan dan janji gabungan itu bahawa peralihan kuasa akan berlaku.

“Itulah yang mengalahkan Barisan Nasional. Itulah sebabnya PKR memenangi 47 kerusi Parlimen, DAP 42 kerusi, BERSATU 13 kerusi, Amanah 11 kerusi dan sekutu kita Warisan 8 kerusi dalam pilihan raya itu,” tegas Nik Nazmi.-SM

(Visited 191 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button