Hiburan

Lah Ahmad tetap jual CD walaupun industri muzik bertukar ke digital

BAGI yang mengenali kumpulan VE pasti kenal dengan seorang daripada anggotanya iaitu Lah Ahmad yang kini berhijrah ke arah lagu-lagu kerohanian.

Baru-baru ini, Lah memberitahu yang dia kini tampil dengan album terbaharu berjudul Selamat Datang Cinta.

Di dalam album tersebut, Lah bekerjsama dengan beberapa artis muda antaranya Aina Abdul dan Haqiem Rusli.

Menurut Lah, pengalamannya bekerja dengan golongan penyanyi muda memang berlainan dengan eranya dahulu.

“Sekarang artis-artis baru akan terus mengeluarkan lagu mereka ke platform digital dan laman sosial.

“Dengan kemampuan mereka, memang lagu tersebut boleh mendapat hit yang tinggi di platform digital manakala penyanyi di era saya pula tidak mampu nak memperoleh keputusan seperti mereka,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Disebabkan itu menurut Lah, dia berusaha sedaya upaya untuk mengeluarkan CD bagi album terbaharunya.

Jelasnya, selepas dia mengeluarkan album fizikal, barulah lagu-lagu tersebut akan dikeluarkan menerusi platform digital pula.

“Memang kena cari cara yang lain dan satu daripadanya adalah mengeluarkan album iaitu perkara yang dah lama orang tidak buat.

“Buat masa sekarang saya akan buat album untuk mereka yang membuat tempahan awal dahulu,” ujarnya.

Dalam pada itu, ditanya mengenai kerisauannya untuk menjual album di waktu dunia sedang berhadapan pandemik Covid-19, Lah mengaku dia rasa takut.

“Bukan saya sahaja takut, orang lain pun sama. Sesiapa sahaja yang berniaga pada waktu Covid-19 ini pasti akan rasa takut.

“Tetapi saya percaya dengan konsep keberkatan di mana sesiapa yang berniaga dan memberi lebih akan diberi keuntungan.

“Begitu juga dengan album saya di mana pembeli tidak hanya mendapat album, tetapi juga barangan cenderamata khas buat mereka,” katanya.

Album Selamat Datang Cinta hadir dengan tujuh buah lagu antaranya ialah Selalu Denganku, Sejarah dan Tunggu Kamu yang menampilkan penyanyi muda, Aina Abdul. -SM

(Visited 457 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button