Rencana

Lagi tiga bulan untuk kecapi kebebasan, bersabar semua

KITA memang mudah terpengaruh dengan apa yang kita saksikan di media sosial dan televisyen.

Dunia tanpa sempadan menyebabkan segala maklumat dari seluruh pelosok dunia hadir dihujung jari kita.

[sociallocker]

 

Dek kerana terlampau banyak maklumat yang diperolehi dengan sebahagian besarnya melampaui batas kemampuan kita berfikir menyebabkan kita terpengaruh untuk bertindak secara tidak bijak dan rasional.

Jika ia hanya melibatkan hal remeh dalam kehidupan harian kita ia tidak menjadi satu masalah yang besar, namun apabila melibatkan soal hidup mati kita dan orang di sekililing, ia menjadi sangat penting dan menjadi persoalan orang lain juga.

Kita melihat penduduk di Eropah kini semakin bebas bersosial tanpa SOP ketat, membuatkan kita juga mahu bebas seperti mereka, tanpa kita sedari negara-negara berkenaan sudah mencapai 80 peratus penduduk yang divaksin daripada virus Covid-19.

Bermakna mereka telah berjaya membentuk kekebalan kelompok. Satu hal lagi yang mengelirukan lagi apabila tiba-tiba kes jangkitan baharu di negara berkenaan juga kembali tinggi berikutan penularan varian baharu wabak berkenaan.

Memang benar jangkitan mendadak naik, tetapi kadar kematian adalah rendah kerana vaksin telah menurunkan risiko kematian akibat jangkitan virus tersebut.

Negara jiran kita Indonesia turut mengalami krisis yang teruk kerana penduduknya berkeras mahu bebas seperti penduduk di Eropah, sedangkan hanya 15 peratus sahaja daripada 280 juta penduduk republik itu divaksin.

Penularan Covid-19 di Indonesia bukan sahaja meragut nyawa pesakit, bahkan lebih 500 doktor telah meninggal dunia sama ada kerana terlalu letih atau turut dijangkiti wabak berkenaan.

Bagi Malaysia kerajaan sedang bertungkus-lumus untuk mencapai tahap vaksinasi 80 peratus penduduk di negara ini dan dijangka akan dicapai dalam tempoh tiga bulan lagi.

Dengan vaksin bukan bermakna badan kita melawan virus berkenaan, tetapi ia telah berdamai dan virus apabila imunisasi kita ditingkatkan dan hubungan menjadi lebih harmoni dengan virus.

Virus juga mahkluk Allah yang mempunyai peranan sendiri untuk membiak dan meluaskan wilayah jajahannya, tetapi dengan menumpang di dalam tubuh manusia.

Malangnya tindakan virus itu menyebabkan kematian kerana tubuh kita tidak cukup kuat untuk menghadapinya.

Kini dengan adanya vaksin tubuh kita akan dapat menghadapi penalukan itu dan akhirnya ia menjadi virus biasa yang singkat dan hilang begitu sahaja.

Oleh itu selain vaksin, kita juga perlu memperbaiki gaya hidup dengan mengamalkan pemakanan sihat serta melakukan senaman yang secara teratur.

Kombinasi ini akan menjadikan badan kita dapat bertahan apabila dijangkiti virus berkenaan.

[/sociallocker]

 

(Visited 79 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Back to top button