Berita

Lagi sokongan untuk Ismail Sabri PM sampai habis penggal

UMNO Selangor mengemukakan usul menyokong penuh kepimpinan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai Perdana Menteri sehingga tamat tempoh penggal ke-14 Parlimen pada tahun 2023.

Pengerusinya, Tan Sri Noh Omar berkata, ia merupakan antara dua usul yang diputuskan UMNO Selangor dan dibincangkan dalam Mesyuarat UMNO Selangor pada Rabu lalu.

Beliau berkata, usul tersebut diputuskan sebulat suara oleh 22 UMNO bahagian di negeri ini bagi memberi ruang kepada Ismail Sabri memimpin negara serta menyelesaikan isu rakyat.

“Kerajaan ini baru 100 hari. Dalam tempoh penggal ini, kita sudah ada tiga Perdana Menteri yang menerajui negara selepas Tun (Dr) Mahathir (Mohamad) selama 22 bulan dan Tan Sri Muhyiddin (Yassin) selama 13 bulan.

“Berilah peluang kepada Ismail Sabri untuk membuktikannya supaya rakyat melihat dan yakin pimpinan Perdana Menteri daripada UMNO akan memberikan perkhidmatan terbaik,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas Majlis Pecah Tanah dan Mesyuarat UMNO Bahagian Tanjong Karang di Institut Pengurusan Peladang (IPP) Tanjong Karang di sini pada Sabtu.

Sementara itu, Noh berkata, Mesyuarat UMNO Selangor juga bersetuju untuk meneruskan kerjasama dengan Pas menerusi Muafakat Nasional (MN).

“Kita sudah putuskan dalam mesyuarat UMNO bahagian, maka kita setuju mengundang wakil Pas untuk hadir mesyuarat hari ini,” katanya.

Noh berkata, dua usul dibawakan UMNO Bahagian Tanjong Karang iaitu meminta kerajaan menangani isu kenaikan harga barang dan input pertanian serta mengukuh kerjasama MN.

Katanya, isu kenaikan harga barang berkait rapat dengan masalah petani dalam Parlimen Tanjong Karang.

“Walaupun saya tahu kerajaan sudah mengambil tindakan tapi sebagai menyampaikan hasrat dan suara rakyat di akar umbi, maka usul ini akan dipersetujui pada Perhimpunan Agong UMNO 2021 pada tahun depan,” kata beliau.

Sementara itu, UMNO Bahagian Alor Setar turut sama menyatakan sokongan penuh kepada Ismail Sabri sebagai Perdana Menteri sehingga tamat tempoh penggal pada tahun 2023.

Ketuanya, Datuk Mohd Yusof Ismail berkata, sokongan itu diberikan kerana rakyat Malaysia perlu dibantu ketika negara sedang mengalami kesan serius akibat Covid-19.

“Saya juga tidak nampak rakyat akan gembira sekiranya pilihan raya diadakan sekarang.

“Pada pandangan saya, berilah peluang kepada Perdana Menteri menyelesaikan apa diperlukan dalam tempoh setahun lebih ini dalam membantu, melihat dan merancang untuk rakyat,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Mesyuarat Persidangan UMNO Bahagian Alor Setar di Dewan Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS) di sini pada Sabtu.

Mohd Yusof berkata, terdapat rakyat yang hilang pekerjaan, contohnya pembantu kedai makan akibat pandemik Covid-19 dan perkara itu perlu diberi perhatian oleh kerajaan.

Sehubungan itu, katanya, kerajaan pimpinan Ismail Sabri perlu dipertahankan sehingga hujung penggal untuk menyelesaikan masalah rakyat yang hilang pekerjaan tersebut. – SM

 

(Visited 258 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button