Nasionalpilihan

Sasar lebih ramai nelayan bumiputera terokai laut dalam

Penglibatan nelayan bumiputera dalam aktiviti tangkapan hasil di laut dalam kini menjadi antara sasaran kerajaan melalui Projek Penempatan Semula Nelayan (PSN) dilaksanakan.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, kerajaan bersetuju meningkatkan jumlah PSN bagi menyediakan prasarana asas yang lebih selesa, sekali gus dapat
membantu meningkatkan produktiviti kelompok berkenaan.

Menurutnya, usaha tersebut dapat membantu negara menjamin keterjaminan makanan daripada aspek sumber perikanan.

Katanya, buat masa ini hampir 80 peratus daripada peraih hasil laut merupakan nelayan pantai manakala bakinya adalah usahawan atau penternak akuakultur.

“Selain kediaman PSN ini, kita juga akan meningkatkan jumlah projek infrastruktur lain berkaitan aktiviti perikanan termasuklah pembinaan jeti pendaratan, pancang bot, balai nelayan, wakaf, slip-way, stor enjin dan lain-lain kemudahan.

“Dengan pembinaan rumah PSN ini, kita harap para nelayan akan jadi lebih aktif dan kalau boleh mampu menjadi peraih di laut dalam.

“Sebab sekarang ini banyaknya nelayan pantai dan akuakultur ini salah satu perkara yang mahu diperbesarkan menjadi 60 peratus di laut dan 40 peratus akuakultur,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas merasmikan Majlis Penyerahan Rumah Nelayan di Taman Desa Bayu, Kuala Sungai Baru, Melaka di sini, hari ini.

Tambah Mohamad, sebanyak 1,772 buah rumah nelayan telah dibina di 13 lokasi di seluruh negara termasuk di Kedah, Pahang, Terengganu dan Perak.

Menurutnya, sebanyak 60 unit PSN jenis rumah berkembar dibina di Melaka di tanah seluas 5.6 hektar.

Katanya, rumah berkenaan dengan harga subsidi bernilai RM45,000 sebuah berbanding harga sebenar RM70,000 dengan kadar bayaran bulanan kurang daripada RM250. – SM

(Visited 75 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button