fbpx
Nasional

Lagi scammer dari China di berkas, kali ini di Ipoh

IPOH –  Jabatan Imigresen Perak menahan 32 warga China termasuk dua wanita disyaki menjalankan aktiviti atas talian dalam serbuan di sebuah premis tiga tingkat di Bandar Meru Raya di sini semalam.

Dalam dua operasi di sini sebelum ini iaitu pada 9 dan 11 Disember lalu serta semalam, Jabatan Imigresen Perak telah menahan 137 orang warga China disyaki melakukan aktiviti sama.

Pengarah Imigresen Perak, Kamalludin Ismail berkata, serbuan semalam bermula pukul 4.30 hingga 6 petang melibatkan 28 Pegawai Operasi Bahagian Penguatkuasa Ipoh.

Menurut beliau, dalam operasi itu, seramai 32 lelaki warga China termasuk dua wanita diperiksa dan ditahan.

Beliau berkata, turut ditahan ialah seorang lelaki warga tempatan dan kesemua suspek berusia antara 18 tahun hingga 41 tahun.

“Semasa serbuan dibuat, mereka sedang leka menjalankan aktiviti atas talian.

“Menyedari kehadiran Pegawai Operasi, ada di antara mereka cuba melarikan diri dengan melompat pagar rumah tersebut.

‘Namun ketangkasan pegawai yang telah mengepung kawasan premis terbabit berjaya mematahkan cubaan untuk melarikan diri,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Menurut Kamalludin, pihaknya merampas 37 komputer riba, 66 telefon bimbit, satu modem internet dan satu unit router, 71 keping kad ATM pelbagai jenis bank, 21 kad pengenalan diri China, satu mesin pembaca ATM atau kad debit dan tujuh sim kad baru.

Beliau berkata, turut dirampas ialah mata wang Ringgit Malaysia, Yuan, Peso, Hong Kong USD dan Euro.

“Hasil daripada dua operasi sebelum ini iaitu pada 9 dan 11 Disember lalu serta semalam, Jabatan Imigresen Perak telah menahan 137 orang warga China disyaki lakukan aktiviti atas talian,” katanya.

Kata beliau, mereka melakukan kesalahan di bawah Seksyen 39(b) kesalahan di bawah Peraturan-Peraturan Imigresen iaitu melanggar syarat Pas Lawatan dengan bekerja secara tidak sah.

Menurutnya, mereka juga melakukan kesalahan di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 iaitu masuk dan tinggal di Malaysia tanpa pas yang sah, Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 iaitu tinggal lebih masa dan Seksyen 56 (1)(d) Akta Imigresen 1959/63 iaitu melindungi warga asing tanpa pas yang sah.

“Mereka ditahan untuk siasatan dan tindakan lanjut,” katanya. – Perak Gazette

Gambar Ihsan Jabatan Imigresen Perak

Show More

Related Articles

Back to top button