NegeriRencah HidupTravel

Ribuan pengunjung serbu 10 lokasi pelancongan di Melaka

Orang ramai beratur menunggu giliran memasuki Zoo Melaka yang dibuka sejak pukul 9.00 pagi. UTUSAN/AMRANMULUP

RIBUAN termasuk pelancong luar menyerbu 10 lokasi pelancongan yang menawarkan masuk secara percuma sempena Hari Pengisytiharan Kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu, hari ini.

Tanpa menghiraukan panas terik, pengunjung yang hadir bersama ahli keluarga tetap kental beratur menunggu giliran untuk masuk percuma di 10 lokasi tersebut buat pertama kalinya.

Tinjauan SUARA MERDEKA mendapati orang ramai mula beratur di kesemua lokasi tersebut sejak pukul 7.00 pagi dan Zoo Melaka antara salah satu lokasi yang menyaksikan lautan manusia membanjiri perkarangan pintu masuk sejak awal pagi lagi.

Sehingga pukul 11.00 pagi seramai 13,000 pengunjung memasuki Zoo Melaka sejak dibuka kira-kira pukul 9.00 pagi tadi dan ekoran kehadiran luar biasa menyebabkan berlaku kesesakan jalan raya di sepanjang Lebuh Air Keroh.

Orang ramai beratur panjang untuk menaiki Bot Melaka River Cruise di Jeti Taman Rempah, Melaka. UTUSAN/AMRAN MULUP

Sementara itu, tiga jeti iaitu Pengkalan Rama, Taman Rempah dan Muara Sungai Melaka menyaksikan orang ramai yang ingin menaiki Bot Melaka Rivercruise (MRC), juga sudah mula beratur seawal pukul 7.00 pagi.

Perbadanan Sungai dan Pantai Melaka (PPSPM) menyediakan 15 bot iaitu lima di setiap tiga jeti yang boleh memuatkan 40 penumpang dalam sebuah bot.

Sehingga pukul 11.00 pagi, sebanyak 4,000 pengunjung berjaya menaiki MRC sementara ribuan lagi masih gigih menunggu giliran untuk menaiki bot yang disediakan secara percuma.

Orang ramai gigih menunggu giliran sebelum dapat menaiki Bot Melaka River Cruise di jeti Taman Rempah, Melaka. UTUSAN/AMRAN MULUP

Keadaan yang sama berlaku di Menara Taming Sari sejurus 4,000 pengunjung dibenarkan menaiki menara berputar itu.

Begitu juga di Melaka Wonderland & Theme Park yang terpaksa mengehadkan 6,000 pengunjung memasuki kawasan itu ketika hampir 10, 000 orang sudah beratur seawal pukul 7.00 pagi.

Sementara itu, lima kelab golf iaitu A’famosa Golf Resort, Kelab Golf Tiara & Country, Ayer Keroh Golf & Country Club (AKCC), Orna Golf & Country Club dan Kelab Golf Heritage turut penuh ditempah pemain untuk sesi pagi dan petang kerana tidak dikenakan bayaran green sebaliknya perlu membayar buggy sahaja. – SM

BACA Melaka intai peluang perkenal sektor pelancongan kesihatan ke negara lain

BACA TMM2024 mampu perkasa semula pelancongan Melaka

(Visited 229 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button